Isnin, 31 Disember 2018

SHORT VACAY : ULU LEGONG HOT SPRING

Assalamualaikum

Tak macam orang lain. Masuk je cuti sekolah, berpusu-pusu pergi bercuti. Aku ni dah masuk minit-minit terakhir baru berkesempatan pergi bercuti seketika.. 1 malam aje kot.

Tempat pun dekat aje. Lebih kurang 1jam 40minit dari rumah aku. Aku ke Air Panas Ulu Legong, Baling. So, inilah cerita aku.

3hari sebelum pergi aku dah whatsapp pengurusan Hot Spring tu. Bagitau tarikh dan bilik apa nak. Aku pilih bilik pool view sebab malas nak jalan jauh-jauh. Harga RM130 bilik katil queen tingkat atas. Kalau nak yang single bed kena ambik tingkat bawah. Booking tak perlu bayar dulu..dah sampai nanti baru bayar sekali RM100 deposit.

Aku dimaklumkan check-in pukul 3. So aku bertolak dari rumah pukul 10pagi. Suami aku pun drive slow motion je betul-betul makan angin. Singgah makan dulu dan tapau apa yang patut.

Sampai di Ulu Lengong dalam pukul 12.30. Aku terus ke kaunter dan cakap pasal aku booking. Sekali boleh pulak budak tu cakap check-in pukul 3..yelah aku cakap ..aku tahu, tapi aku nak bayar lah sebab dah sampai. Budak tu cakap tak boleh bayar lagi, pukul 2.30 baru boleh bayar.. WTF..! Adoi..punya banyak tempat aku pergi, inilah pertama kali aku dengar jawapan yang macam tu. Apa salahnya nak bayar siap-siap. Nanti pukul 3 bagi ajelah kunci. Spoil pulak mood aku.

So aku pun keluar dari kawasan kaunter dan melepak-lepak kat hujung kawasan parking yang redup. Kau bayangkan ajelah..dari pukul 12.30 sampai pukul 3..nak masuk tak boleh. At least, terimalah bayaran dulu, guest boleh lepak-lepak tepi kolam sementara tunggu kunci.. guest pun faham ,pekerja perlukan masa untuk house keeping.. untuk servis yang macam ni aku bagi 2 bintang aje. FAILED!

Maka melepaklah aku membuang 2jam lebih kat luar yang panas gila. Tepat pukul 2.30 aku cakap kat suami, nak pergi bayar, kot-kot dah boleh terima. Kami pun pergilah kat kaunter tu balik dan bayarlah harga bilik nilai RM 3bintang tu..tunggu lagi sampai pukul 3, suami aku pergi mintak kunci..wahhhh gituuuuu.. tepuk dahi kalau macam ni punya servis. Majlis Daerah Baling patut hantar staf pergi kursus hospitaliti kalau macam gini gayanya. 

Dari pintu masuk

Kaunter masuk..budak-budak tu pun senasib lah dengan aku, menunggu masuk, lagi kesian nenek dia yang ber wheel chair pun terpaksa tunggu diluar.

Kalau tak nak menginap, nak masuk mandi aje pun boleh. RM6 untuk dewasa kalau tak salah aku. Biasanya orang mandi malamlah. Siang tak ada yang mandi. Gila nak mandi panas-panas..tak pasal-pasal jadi orang rebus.

Bilik Pool View yang aku booking

Bilik oklah..biasa aje. Bantal 2 biji nipis gila..sakit tengkok aku..tak ada bantal extra. So,sila bawak bantal lebih kalau jenis tidur bantal tebal.

Complimentary yang ada. TV ada Astro.

Toilet dia ok aje..walaupun mangkuk toilet berkarat, tak kisahlah, bukan aku nak masuk duduk dalam mangkuk toilet tu ..tak kuasa pulak aku nak cuci kilat-kilat, bukannya toilet rumah aku kan..tapinya yang tak best tu,masa aku masuk,lantai toilet ni memang basah lencun..mujur aku tengok dulu, buatnya aku langkah masuk terus..boleh meninggal aku kalau jatuh.. bahaya oi..jangan main-main kalau lantai basah.

Katil pun menghadap pool

Kolam budak-budak yang paling dekat dengan bilik. Air panas suam-suam.


Kolam ni aje aku berani masuk..itupun ambik masa masuk sikit-sikit..panas oi.

Dalam perkiraan aku, ada 7 buah kolam. Yang betul-betul boleh berendam ada 3. Yang boleh rendam kaki ada 3 juga dan yang tak boleh masuk langsung ada 1..mendidih berasap weh.

Yang panas aku tak tahan..aku rendam kaki je..tapi ada hamba Allah mana ntah siap boleh berenang-renang lagi.

Yang berpagar ni paling panas

Nampak tu..berasap..



Antara bilik dan chalet yang disediakan

Kawasan sekitar 

Kalau berdiri ditempat aku ambil gambar ni, sebelah kiri ada jambatan, seberang jambatan tu, malam-malam ada gerai makan dan macam-macam lagi yang dibuka pada waktu malam. Aku tak ada gambar kedai tu semua sebab masa aku pergi, aku tak bawa handphone. Puncanya aku plan nak berendam..kena rendam 1 jam..aku rasa mengantuk,suami ajak jalan-jalan lepastu nampak tempat makan.. apalagi..nasi goreng kampung dengan horliks ais dia padu weh..

Tandas dan tempat tukar baju

Kolam ke-3 yang ada didepan bilik

Dari jauh nampak bilik yang aku booked. Sebelah kiri aku tu ada tanah lapang untuk orang buka khemah..ada yang ber camping kat situ.

Cuma 1 je aku nak pesan..kalau korang datang kesini..TOLONG Laaaaa..jangan buat pool ni macam pool mak bapak korang. Ada tu yang siap bawak bola ..main bola tampar dalam pool yang airnya panas..kau bayangkan..kau baik-baik je berendam dalam pool yang panas, nak masuk 1 badan pun kau masuk slow-slow tetiba ada 1 bola melayang jatuh depan muka kau..air panas terpercik kena muka.. agak-agak kau nak senyum ke nak maki?

Panorama malam hari.

Disebabkan aku pilih bilik depan pool..maka aku pun tidur tak berapa nak lelap..bising lah pulak..kalau orang dewasa takde bunyi apa-apa.. ini budak-budak..sampai pukul 3 pagi pun ada lagi yang mandi bukan main riang ria lagi..paham-paham ajelah.


Esok paginya kolam dikeringkan untuk dicuci.

So, itu sajalah cerita aku. Kami check-out pukul 10pagi. Kepada sesiapa yang nak pergi, tak payah risau bab makan, ada je jual kat tempat yang aku cerita tu. Kalau jenis tidur mati, ok je ambik bilik pool view ni..kalau jenis telinga lintah macam aku,baik jangan.

Sekian untuk hari ni.

Adeuss!

Ahad, 30 Disember 2018

HADIAH PERPISAHAN

Assalamualaikum.

Minggu lepas, Isnin 24 Disember 2018 adalah hari terakhir aku berkhidmat dengan 1 pejabat yang meninggalkan memori manis dalam hidup aku. Syukur aku dikurniakan adik-adik buah yang mendengar cakap, rajin dan boleh diharap.

Walaupun tempoh aku berkhidmat dengan jabatan ini hanya 2 tahun 8 bulan sahaja, tapi kesannya meninggalkan sejuta kenangan dalam hidup aku.

Permohonan bertukar ni aku buat sejak 2014 lagi pada ketika aku berkhidmat di Langkawi lagi. Punyalah susah nak dapat tukar. Puas call, emel..tinggal aku tak pergi sembah kaki orang JPA je lagi. Susah yang teramat susah. Dari abah aku sakit sampai dah masuk fasa nyanyuk dah sekarang ni.

Majlis farewell aku dibuat pada 13 Disember 2018 sebaik sahaja selesai penutupan Akaun Persekutuan. Hadiah perpisahan yang aku terima adalah yang paling tak ternilai..

Ucapan dari Pengarah yang sejak dulu sokong aku, mendengar masalah aku , takkan aku lupakan.

Hadiah dari staff untuk aku..
Tahu aku sorang kaki backpackers yang bermimpi untuk keliling dunia, maka dihadiahkan beg untuk di backpackers kan dan peta dunia untuk aku keliling tiap hari 不不不

Terima kasih semua..adik-adikku yang setia bersama aku memulihkan semula sebuah jabatan yang sangat bermasalah pengurusan kewangannya.. dari zero kita bangkit hingga kita setaraf dengan jabatan lain.

Moga berjumpa lagi. Kenangan kita tetap tersemat dihati.

Dan hari ini..hari pertama aku mulakan tugas di tempat baru..bersama kenangan lalu.

Sabtu, 29 Disember 2018

BACKPACK RINGAN UNTUK BACKPACKERS KEDEKUT

Assalamualaikum.

Bagi yang dah lama follow aku, korang mungkin maklum aku ni suka travel secara backpack. Dalam kata lain..bercuti luar negara, tak pakai pakej atau ejen..redah sendiri.

Dah banyak kali aku pergi, bawak backpack aje. Tak check-in bag, tak beli extra baggage dan drop in. Walaupun Air Asia letakkan had 7kg, tapi aku selamba je bawa beg yang walaupun ukurannya ngam-ngam AA punya term, tapi beratnya pernah sampai 20kg. Selain nak jimat dari kena beli extra baggage, aku taknak buang masa nak kutip beg yang dah drop in. Dengan luggage mudah..turun flight dan lari.

Kali terakhir aku backpackers 2 tahun lalu. Aku ke Hong Kong, oleh kerana berat lebih had, tangkai beg aku putus dan nasib aku baik, putus masa aku nak naik flight balik dar KL ke Alor Setar. Waktu tu AA tak strict sangat pun pasal hand luggage. Aku tengok ada yang bawak beg troli punya besar..berat tu wajiblah lebih 7kg..ok je lepas.

Tapi baru-baru ni aku dengar AA strict gila. Sampai tahap timbang. Sebagai langkah berjaga-jaga, untuk backpackers kali ni, aku betul-betul jaga bab berat beg, hingga ke baju yang aku nak bawak.

Cari punya cari..akhirnya aku jumpa beg yang ringan, simple, tak banyak aksesori yang takde fungsi, dan dapat pulak diskaun..aku sambar terus beg Adidas BP IV LS. 

Sebelum beli aku dah lama survey di web Adidas dan Zalora. Akhirnya setelah menunggu punya lama, Zalora buat sale 25% ..nak harap web Adidas..berjanggut aku tunggu.

Aku malas nak shoot gambar..aku screen short kat web ajelah..jom tengok.

Kat Zalora nama dia Adidas Performance Power IV LS Backpack. Tapi di official web Adidas, nama dia Power 4 Loadspring Backpack.


Detail beg ni:
Ukuran : 50cm x 31cm x 18cm
Kapasiti : 32liter
Berat : 440g




Kalau beli di web Adidas harganya RM200 tak kurang 1sen pun. Kalau guna voucher 1st time register account baru 15% less. Tapi di Zalora aku dapat harga RM150. Jimat RM50..banyak tuuuu..

Walaupun sebelum aku bertukar haritu ofis aku adakan farewell dan dihadiahkan sebiji backpack, tapi tak dapat bawa beg tu sebabnya beg tu berat 1.2kg.. sayang juga. Apakan daya, aku nak jimatkan limit berat beg yang nak dibawak. So aku terpaksalah beli lain yang ringan. Itu ajelah review aku untuk harini.

Kepada sesiapa yang nak backpakers tanpa perlu beli extra baggage,nak jimat AKA kedekut macam aku, laburlah sikit beli beg yang ringan. Beg mahal takpe, boleh pakai banyak kali. Pastikan 2 beg tak lebih 7kg je. 7kg tu bukan banyak mana pun.

Ok. Nasihat aku, pastikan ORI baru BELI!

Adeuss!!!


Jumaat, 28 Disember 2018

JEMPUT-JEMPUT JAGUNG

Assalamualaikum.

Dari semalam asyik jagung je. Apa nak buat, banyak pula stok jagung yang aku beli hasil tanaman banduan Kem Tok Jalai yang dijual murah. 

Minggu-minggu terakhir aku di pejabat sekarang sebelum bertukar ke pejabat baru, so aku pun nak menjamulah kawan-kawan sepuas hati. Kali ni untuk breakfast pulak. Sebesen jemput-jemput AKA cekodok jagung aku buat.

Bahan-bahan;
1 kg tepung gandum
3 jantung jagung(isi)
1 mangkuk udang (kalau besar, potong-potong kecil ye, kalau dah udang kecil,tak yah potonglah..kesian dia)
2 labu bawang besar
10 tangkai cili padi -hiris nipis
1 sudu teh backing powder
2 biji telur
Serbuk kunyit
4 sudu gula
Garam

Cara-cara;
Mudah je, campur semua bahan, secubit serbuk kunyit, garam dan gula..rasa sikit dulu. Aku suka cucur jagung manis sikit, so aku lebihkan gula. Masukkan air sedikit-sedikit dan gaul sampai rata agak-agak tepung boleh dijemput dengan jari. Panaskan minyak dan goreng.

Alhamdulillah..cucur aku lembut sampai ke tengahari walaupun dah sejuk..dan Timbalan aku pulun makan sampai kenyang.

Khamis, 27 Disember 2018

AYAM MASAK MERAH KENDURI

Assalamualaikum.

Sambung cerita semalam. Acara portluck opis lah kekdanya. Semalam dah tunjuk resepi Nasi Jagung. Harini aku bagi resepi Ayam Masak Merah Kenduri pulak. 

Nasi Jagung dan Ayam Masak Merah

Resepi ni aku belajar dengan jiran mak aku..dah arwah pun. Ngah Syah namanya. Sebut pasal Arwah Ngah Syah, dengan dialah aku belajar banyak tips memasak. Suami dia mamak..so memang pandai masak. Moga tiap masakan yang aku buat, orang puas makan..orang happy, pahalanya aku sedekahkan untuk dia.. 

Berbalik pada resepi. Ayam Masak Merah ni, bila aku makan, aku rasa macam aku makan zaman aku budak-budak dulu. Sedap lain macam sikit. Jom tengok resepi.

Bahan-bahan;
2 labu bawang putih
2 labu bawang besar
5 ulas bawang merah 
3 inci halia
2-3 biji isi buah keras(takde pun takpe)
5-6 batang serai- racik
*blend semua bahan ni

2 ekor ayam - gaul garam kunyit dan goreng 3 suku masak
7-8 kuntum bunga lawang
2 batang kulit kayu manis
4-5 batang serai dititik
1 mangkuk cili kering blend
1 tin tomato puree
1 uncang sup bunjut
1 1/2 tin susu sejat
1 tin kacang peas
3 labu bawang besar -mayang kasar
2-3 pokok daun saderi/sup
1 kiub ayam

Cara-cara;
1. Panaskan minyak dan tumis bunga lawang, kulit kayu manis dan serai dititik sebentar dan masukkan bahan yang diblend sampai naik bau.
2. Masukkan cili kering blend dan tumis sampai pecah minyak. Kalau suka pedas,lebihkan cili kering.
3. Masukkan tomato puree, uncang sup bunjut dan kiub ayam. Kacau sebentar dan masukkan ayam, gaul rata.
4. Masukkan susu sejat, perasakan dengan garam, gula dan masak dengan api sederhana hingga ayam masak.
5. Masukkan kacang peas dan bawang besar, kacau rata dan akhir sekali barulah masukkan daun sup/saderi.Kacau rata, siap!

Sorry lah tak ada gambar dari kuali, semuanya aku dah masukan dalam bekas untuk dibawa ke pejabat.

Ok..itu aje untuk harini..

Adeusss!!!

Rabu, 26 Disember 2018

NASI JAGUNG BERKENJAH

Assalamualaikum.

Bersyukur dengan permohonan bertukar sejak 4 tahun lalu baru diluluskan..kalau beranak, anak tu dah nak masuk tadika pun.. so aku dengan senang hati, nak menjamu kawan-kawan sepejabat.

Menunya simple aje.. Nasi Jagung dan Ayam Masak Merah. Dan bila untuk menjamu,pastinya aku masak dalam portion kenduri. Kepada yang nak mencuba, kurang-kurangkan sukatan ye.  

NASI JAGUNG 
(25-30orang makan)
Bahan-bahan;
5ulas bawang putih
2inci halia
2labu bawang besar
5ulas bawang merah
*mayang halus

4 gelas plastik beras basmati (gelas plastik macam kat kedai makan tu)
7-8kuntum Bunga lawang
2 batang kulit kayu manis (patahkan)
1 sudu kecil bunga cengkih
1 tin susu sejat
4 tin air 
1 camca makan serbuk kaskas
4 jantung jagung(ambil isi)
Pewarna kuning(optional)
2 batang serai dititik
Minyak sapi untuk menumis

Cara-cara;
1. Panaskan minyak sapi dan tumis bahan yang dimayang bersama bunga lawang,kulit kayu manis,bunga cengkih dan serai dititik. 
2. Bila bawang dah layu masukkan serbuk kaskas dan sedikit air serta garam anggaran 2 camca makan.
3. Masukkan beras yang siap dicuci dalam periuk nasi, dan tuangkan semua bahan tumisan bersama minyak. Kemudian masukkan jagung,susu sejat dan air dan pewarna kuning kalau nak..aku tak letak pun. Masaklah seperti biasa.


Oleh kerana aku masak banyak dan nak cepat siap,aku gunakan PC (preasure cooker) berkapasiti 6liter. Masa diambil 12minit tapi sementara periuk nak warm-up pun..dalam 20minit baru siap. Kalau nak buat sikit-sikit, guna periuk nasi letrik yang biasa tu je.

Nasi jagung aku sangatlah meriah..jagung memang banyak aku letak. Nak bagi puas makan. Esok aku kongsikan resepi Ayam Masak Merah Kenduri pulak. Ok..selamat menjagung!

Selasa, 25 Disember 2018

PAJERI NENAS TERGULING

Assalamualaikum.

Resepi seterusnya.. Pajeri Terung. Resepi ini juga boleh aje kalau nak tukar dengan nenas. Tapi Aku lebih suka terung.

Bahan-bahan;
3-4 batang terung -belah 2, rebus sedikit dalam 5 minit dna ketepikan
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
4 sekawan (kulit kayu manis+bunga lawang+bunga cengkih+buah pelaga)
1 pek rempah kari daging
1 tangkai daun kari
1 pek kecil kerisik (2-3 sudu lebihkurang)
1 cawan santan
5 sudu gula

Cara-cara;
1. Tumiskan bawang-bawang dengan 4 sekawan , daun kari dan rempah kari sampai naik bau.
2. Masukkan sedikit air dan santan, dan kemudian masukkan terung.
3. Bila kuah dah didih, bbalik-balikkan terung, masukkan kerisik dan garam.
4. Akhir sekali masukkan gula dan siap! 

Menu wajib yang mesti mengiringi pajeri terung ni, ikan gelama masin ! layannnnn

Isnin, 24 Disember 2018

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

Assalamualaikum

Tempoyak lagi.. hari ni aku nak kongsi resepi Sambal Tempoyak Daun Kayu. Dalam ni macam-macam daun aku letak. Kali pertama aku makan ni masa aku study kat Negeri Sembilan dulu. Mula dari situlah aku jatuh cinta dengan sambal daun kayu ni.

Bahan-bahan;
1 ikat pucuk ubi
5 helai daun kunyit
20 helai daun kaduk
1 ikat pucuk labu
***hiris halus

10-15 biji cili padi
1inci kunyit hidup (kalau tak ada,guna serbuk je)
***tumbuk 

4 papan petai ambik isi saja
Segenggam ikan bilis
2 batang serai -dititik
3 cawan santan pekat
1 cawan tempoyak 
garam

Cara-cara;
Satukan semua bahan dalam periuk..hidupkan api, gula garam secukupnya dan kacau-kacau sampai masak.


Cepat dan sedap. Cuma bahan aje yang agak susah nak cari kalau bukan musim..tambah-tambah tempoyak(durian) dan petai.

Ahad, 23 Disember 2018

PATIN TESCO MASAK TEMPOYAK

Assalamualaikum.

Kejayaan membuat tempoyak tidak berakhir disitu. Aku nak cuba pulak masak menu menggunakan tempoyak.

Teringin nak makan ikan patin masak tempoyak. Umum tahu, patin tempoyak ni sinonim dengan Negeri Pahang dan Perak. Kat Kedah ni memang tak jumpalah patin fresh dan tempoyak bukan makanan rasmi orang Kedah.

Terpaksa aku menjala patin kat Tesco. Mujur ada. Maka jadilah Masak Tempoyak Ikan Patin. Kepada orang Kedah yang tak pernah masak tempoyak ni..ni aku kongsikan resepi.. (orang Pahang dan Perak..sila duduk jeling diam-diam ye..korang dah terer)

Bahan-bahan;
Ikan patin 
1 cawan tempoyak..lebih pun ok..ikut la banyak mana ikan tu.
1 ikat daun kesum
1 kuntum bunga kantan -belah 2
10-15 tangkai cili padi (aku suka pedas)- tumbuk
1 sudu serbuk kunyit (kalau ada kunyit hidup tumbuk lagi sedap)
Garam

Cara-cara;
Masukkan semua bahan dalam periuk,sedikit air sebagai kuah, garam dan perasa sesedap selera..kacau-kacau rata.. hidupkan api.. tunggu didih..siap..senang je kan?

Jadilah masak tempoyak cara aku..aku bukan orang pahang 不

Sabtu, 22 Disember 2018

TEMPOYAK HOMEMADE

Assalamualaikum..

Haritu,masa musim durian,suami aku pegi borong buah yang orang jual lungguk-lungguk tu. Aku ni tak makan durian, tapi bila jadi tempoyak, aku makan sebab bau durian dah kurang.

Seumur hidup aku tak pernah buat tempoyak. Ni memang sejarah hidup. Suami suruh aku cuba buat. Katanya gauk je isi durian dengan garam.

Maka aku pun cuba..sambil tutup2 hidung aku asingkan isi durian dengan biji. Letak dalam besen, tabur garam..agak-agak ajelah lepas tu aku masukkan semua dalam balang plastik. Dapatla 3suku penuh balang tu..lepas tu aku letakla atas peti ais.

Pagi tu aku siap-siap nak pergi kerja..dapur sku dah berbau kuat.. aku tak tertengok pun la apa dah jadi dengan tempoyak aku.. Petang tu balik kerja aku kedapur.. tengok-tengok..

Mak datuk..sampai terangkat tudung balang..mujur tak meletup ke apa 不不

Tengokla bila aku cabut tudung balang tu..maintain je tempoyak aku tak jatuh..haha

Lepas ni tau dah.. isi separuh je dalam balang sebab tempoyak ni mengembang..manalah aku tahu. 38tahun hidup, ni baru 1st time aku buat.. huhu

Jumaat, 21 Disember 2018

AYAM MASAK MINANG

Assalamualaikum.

Sila jangan boring ye kalau hari-hari entri pasal resepi je. Bukan apa, aku tulis sebab aku takut aku sendiri yang lupa nanti.

Kali ni kita cuba 1 lagi menu..yang nak kata kari..tapi ada pedas cili padi..tiba-tiba ada bau daun limau purut macam menu siam pulak..tup-tup nama dia Ayam Masak Minang.. jauh nau pegi nya..

Bahan-bahan;
20 tangkai cili padi (lebih kurang 1 genggam)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
***blend semua bahan ni

1 pek kecil rempah kari daging
1 ekor ayam
5@6 helai daun limau purut
2 batang serai- dititik
1 cawan santan
3 kpg asam keping
Garam perasa secukup rasa

Cara-cara;
1. Tumis bahan yang di blend sampai naik bau.
2. Masukkan serai yang dititik, dan rempah kari.
3. Masukkan ayam, asam keping dan santan.
4. Akhir sekali masukkan daun limau purut, dan perasakan kuah.


Bagi aku..cukup 1 lauk ini...makan dengan nasi panas-panas..layannn..

Khamis, 20 Disember 2018

RESEPI KUAH KACANG MANIS

Assalamualaikum.

Kali ni aku kongsikan menu kesukaaan suami aku. Setiap kali raya ini adalah menu wajib.. atau kadang-kadang dia teringin nak makan nasi himpit,aku akan buat kuah kacang ni.

Resepi ni,resepi aku sendiri dan kuah kacang ni agak manis sikit.


Bahan-bahan;
2 cawan cili kering
4 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
5 batang serai
2 inci halia
1 batang lengkuas
***semua bahan ni di blend

Bahan tumis:-
2 batang serai -dititik
1 btg kulit kayu manis
4 kuntum bunga lawang

1 keping daging burger atau daging segar dicincang
2 keping asam keping/gelugur
1 cawan gula
1 ketul kiub ayam
2 cawan santan
1 kg kacang tanah, digoreng,buang kulit dan tumbuk

Cara-cara;
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumis dan bahan yang di blend sampai naik bau dan masukkan daging.
2. Masukkan asam keping, kiub ayam, dan sedikit air. Masak sampai didih.
3. Masukkan santan, kacang tanah dan sedikit garam.
4. Masak hingga kuah agak pekat dan matikan api. Akhir sekali masukkan gula dan kacau rata. 

Abaikan periuk yang dah bersememeh tu ye.. 

Rabu, 19 Disember 2018

GULAI PISANG IKAN TALANG KERING

Assalamualaikum.

Harini resepi yang agak rare. Kat kampung banyaklah jumpa masak gulai ni..dan yang paling penting, kalau kat kampung, terjadinya gulai ni bila ada pokok pisang yang tumbang dek ribut. 不

Pisang yang sesuai untuk buat gulai AKA kari ni adalah pisang emas, pisang nangka dan pisang abu. Yang pastinya mestilah pisang muda.


Bahan-bahan;
5-6biji pisang muda -siat kulit yang keras tu dan rendam dalam air supaya pisang tak hitam
200g ikan talang kering(isi dan tulang) -lebih kurang 1 mangkuk 
2 pek kecil serbuk kari ikan
3 ulas bawang merah -dimayang
6 ulas bawang putih -dimayang
1/2 cawan perahan air asam jawa
2 cawan santan
2 tangkai daun kari
1 camca halba campur (halba+biji sawi+jintan putih+jintan manis)

Cara-cara;
1. Tumis bawang-bawang,daun kari dan halba campur.
2. Masukkan serbuk kari dan air asam jawa. Kacau sampai pecah minyak dan masukkan 2 cawan air.
3. Masukkan pisang muda. Renihkan 5-6minit dan masukkan ikan talang kering. Renihkan lagi 10 minit atai sampai pisang lembut.
4. Masukkan santan dan perasakan. Tak perlu banyak garam sebab ikan talang tu sendiri dah masin.. siap!

Nikmat duduk dikampung..semuanya boleh dijadikan makanan yang sedap-sedap..pokok pulak tumbuh dikeliling rumah.

Selamat mencuba dan menggulai.

Selasa, 18 Disember 2018

SAMBAL PETAI SOUN

Assalamualaikum

Pernah dengar Sambal Petai Soun? Tak pernah?? Aku pun tak pernah不不不. Ini kisahnya terjadi sebab aku dah putus idea nak masak apa. Nak buat Sambal Goreng Jawa..bahan tak cukup..last-last jadilah resepi ni.

Bahan-bahan;
30 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
6 ulas bawang putih
***kisar semua

Segenggam ikan bilis
3 camca udang kering -rendam dalam 5 minit
2 pek soun pucuk -rendam hingga pucuk lembut
5 papan petai -biji sahaja

Cara-cara;
1. Goreng bilis dan ketepikan.
2. Guna minyak yang sama, tumis bahan yang dikisar dan masukkan udang kering.
3. Bila dah nampak agak garing, masukkan petai, pucuk dam soun. Kacau rata
5. Masukkan sedikit gula, garam dan ikan bilis..kacau rata..siap!

Hati-hati..sambal ni pedas boleh tahan..tapi lagi laju pulak makan nasi. 

Isnin, 17 Disember 2018

MASAK LEMAK PUCUK PAKU

Assalamualaikum

Gambar lama yang bersawang dalam phone. Masakan orang kampung, yang senang tapi sedap. 10 minit je dah siap. Kena ada ikan goreng baru layan.

Bahan-bahan;
1 ikat pucuk paku
Segenggam ikan bilis
2 ulas bawang merah
15 biji cili padi -tumbuk
1 cawan santan pekat
Sedikit air
1/2sudu serbuk kunyit


Cara-cara; 
Masukkan semua bahan dan air kecuali santan. Didihkan. Akhir sekali masukkan santan dan sedikit kunyit serbuk. Perasakan kuah.

Siap!


Ahad, 16 Disember 2018

KUETEOW GORENG CAMPAK-CAMPAK

Assalamualaikum.

Kebanyakkan masakan aku tak ada sukatan.Apa yang aku tulis disini aku agak-agak je. Sebab bila aku masak, aku main campak-campak..siap!

Tambah-tambah kalau masakan panas macam kueteow ni. Mana ada masa aku nak sukat kicap kalau kuali tengah panas. Skema betul ..

Bahan-bahan;
3 ulas bawang merah -tumbuk
6 ulas bawang putih -tumbuk
1 cawan cili kering blend
1/3 cawan kicap manis
Sos tiram
Sos cili
1 pek kueteow
2 ketul isi ayam
10 ekor udang -kuantiti ikut suka
Kucai
Taugeh
1 biji cili merah

Cara-cara;
1. Panaskan minyak dan goreng isi ayam dalam 2 minit, angkat dan ketepikan.
2. Tumis semua bawang, dah layu kicap,sedikit sos tiram dan sos cili..kacau rata dan masukkan cili blend.Tumis sebentar
3. Masukkan kueteow, kucai,ayam, udang dan cili merah..kacau lagi..jangan lupa ketuk-ketuk kuali bagi jiran dengar.
4. Bila udang dah masak (tukar warna merah) baru masukkan taugeh. Kacau rata dan siap!




Hmmm..ok jom makan!

Sabtu, 15 Disember 2018

AYAM CENDAWAN SHITAKE

Assalamualaikum

Tak taulah ni resepi Jepun ke apa. Rasanya orang Jepun pun tak masak macamni. Aku  main campak-campak je..sedap juga. Jom try. 


Bahan-bahan;
5 ketul isi ayam - potong sedang
10 biji cendawan shitake - hiris nipis (beli je yang dalam tin kalau tak jumpa yang fresh atau kering)
3 ulas bawang merah -cincang
4 ulas bawang putih -cincang
2 inci halia -potong batang mancis
Daun bawang
3 camca sos tiram
5 biji cili padi
3 camca tepung jagung -bancuh dengan 1/2 cawan air

Cara-cara;
Tumis semua bawang dan halia, masukkan ayam,  masak sebentar, masukkan cendawan. Masak lagi dalam2 -3minit,masukkan sos tiram dan garam,air tepung jagung dan kacau sampai kuah didih. Akhir sekali masukkan daun bawang dan cili. SIAP..senang aje kan?





Nilah gambar masakan siap aku yang paling tak senonoh..gambar hidang takde. Tak sempat hidang suami aku dah kaut masuk dalam pinggan nasi dia. Huhu

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...