Memaparkan catatan dengan label Baling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Baling. Papar semua catatan

Isnin, 31 Disember 2018

SHORT VACAY : ULU LEGONG HOT SPRING

Assalamualaikum

Tak macam orang lain. Masuk je cuti sekolah, berpusu-pusu pergi bercuti. Aku ni dah masuk minit-minit terakhir baru berkesempatan pergi bercuti seketika.. 1 malam aje kot.

Tempat pun dekat aje. Lebih kurang 1jam 40minit dari rumah aku. Aku ke Air Panas Ulu Legong, Baling. So, inilah cerita aku.

3hari sebelum pergi aku dah whatsapp pengurusan Hot Spring tu. Bagitau tarikh dan bilik apa nak. Aku pilih bilik pool view sebab malas nak jalan jauh-jauh. Harga RM130 bilik katil queen tingkat atas. Kalau nak yang single bed kena ambik tingkat bawah. Booking tak perlu bayar dulu..dah sampai nanti baru bayar sekali RM100 deposit.

Aku dimaklumkan check-in pukul 3. So aku bertolak dari rumah pukul 10pagi. Suami aku pun drive slow motion je betul-betul makan angin. Singgah makan dulu dan tapau apa yang patut.

Sampai di Ulu Lengong dalam pukul 12.30. Aku terus ke kaunter dan cakap pasal aku booking. Sekali boleh pulak budak tu cakap check-in pukul 3..yelah aku cakap ..aku tahu, tapi aku nak bayar lah sebab dah sampai. Budak tu cakap tak boleh bayar lagi, pukul 2.30 baru boleh bayar.. WTF..! Adoi..punya banyak tempat aku pergi, inilah pertama kali aku dengar jawapan yang macam tu. Apa salahnya nak bayar siap-siap. Nanti pukul 3 bagi ajelah kunci. Spoil pulak mood aku.

So aku pun keluar dari kawasan kaunter dan melepak-lepak kat hujung kawasan parking yang redup. Kau bayangkan ajelah..dari pukul 12.30 sampai pukul 3..nak masuk tak boleh. At least, terimalah bayaran dulu, guest boleh lepak-lepak tepi kolam sementara tunggu kunci.. guest pun faham ,pekerja perlukan masa untuk house keeping.. untuk servis yang macam ni aku bagi 2 bintang aje. FAILED!

Maka melepaklah aku membuang 2jam lebih kat luar yang panas gila. Tepat pukul 2.30 aku cakap kat suami, nak pergi bayar, kot-kot dah boleh terima. Kami pun pergilah kat kaunter tu balik dan bayarlah harga bilik nilai RM 3bintang tu..tunggu lagi sampai pukul 3, suami aku pergi mintak kunci..wahhhh gituuuuu.. tepuk dahi kalau macam ni punya servis. Majlis Daerah Baling patut hantar staf pergi kursus hospitaliti kalau macam gini gayanya. 

Dari pintu masuk

Kaunter masuk..budak-budak tu pun senasib lah dengan aku, menunggu masuk, lagi kesian nenek dia yang ber wheel chair pun terpaksa tunggu diluar.

Kalau tak nak menginap, nak masuk mandi aje pun boleh. RM6 untuk dewasa kalau tak salah aku. Biasanya orang mandi malamlah. Siang tak ada yang mandi. Gila nak mandi panas-panas..tak pasal-pasal jadi orang rebus.

Bilik Pool View yang aku booking

Bilik oklah..biasa aje. Bantal 2 biji nipis gila..sakit tengkok aku..tak ada bantal extra. So,sila bawak bantal lebih kalau jenis tidur bantal tebal.

Complimentary yang ada. TV ada Astro.

Toilet dia ok aje..walaupun mangkuk toilet berkarat, tak kisahlah, bukan aku nak masuk duduk dalam mangkuk toilet tu ..tak kuasa pulak aku nak cuci kilat-kilat, bukannya toilet rumah aku kan..tapinya yang tak best tu,masa aku masuk,lantai toilet ni memang basah lencun..mujur aku tengok dulu, buatnya aku langkah masuk terus..boleh meninggal aku kalau jatuh.. bahaya oi..jangan main-main kalau lantai basah.

Katil pun menghadap pool

Kolam budak-budak yang paling dekat dengan bilik. Air panas suam-suam.


Kolam ni aje aku berani masuk..itupun ambik masa masuk sikit-sikit..panas oi.

Dalam perkiraan aku, ada 7 buah kolam. Yang betul-betul boleh berendam ada 3. Yang boleh rendam kaki ada 3 juga dan yang tak boleh masuk langsung ada 1..mendidih berasap weh.

Yang panas aku tak tahan..aku rendam kaki je..tapi ada hamba Allah mana ntah siap boleh berenang-renang lagi.

Yang berpagar ni paling panas

Nampak tu..berasap..



Antara bilik dan chalet yang disediakan

Kawasan sekitar 

Kalau berdiri ditempat aku ambil gambar ni, sebelah kiri ada jambatan, seberang jambatan tu, malam-malam ada gerai makan dan macam-macam lagi yang dibuka pada waktu malam. Aku tak ada gambar kedai tu semua sebab masa aku pergi, aku tak bawa handphone. Puncanya aku plan nak berendam..kena rendam 1 jam..aku rasa mengantuk,suami ajak jalan-jalan lepastu nampak tempat makan.. apalagi..nasi goreng kampung dengan horliks ais dia padu weh..

Tandas dan tempat tukar baju

Kolam ke-3 yang ada didepan bilik

Dari jauh nampak bilik yang aku booked. Sebelah kiri aku tu ada tanah lapang untuk orang buka khemah..ada yang ber camping kat situ.

Cuma 1 je aku nak pesan..kalau korang datang kesini..TOLONG Laaaaa..jangan buat pool ni macam pool mak bapak korang. Ada tu yang siap bawak bola ..main bola tampar dalam pool yang airnya panas..kau bayangkan..kau baik-baik je berendam dalam pool yang panas, nak masuk 1 badan pun kau masuk slow-slow tetiba ada 1 bola melayang jatuh depan muka kau..air panas terpercik kena muka.. agak-agak kau nak senyum ke nak maki?

Panorama malam hari.

Disebabkan aku pilih bilik depan pool..maka aku pun tidur tak berapa nak lelap..bising lah pulak..kalau orang dewasa takde bunyi apa-apa.. ini budak-budak..sampai pukul 3 pagi pun ada lagi yang mandi bukan main riang ria lagi..paham-paham ajelah.


Esok paginya kolam dikeringkan untuk dicuci.

So, itu sajalah cerita aku. Kami check-out pukul 10pagi. Kepada sesiapa yang nak pergi, tak payah risau bab makan, ada je jual kat tempat yang aku cerita tu. Kalau jenis tidur mati, ok je ambik bilik pool view ni..kalau jenis telinga lintah macam aku,baik jangan.

Sekian untuk hari ni.

Adeuss!

Ahad, 26 Jun 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - GUNUNG INAS

Assalamualaikum.

Ke Gunung Inas pula kali ini. Mempunyai ketinggian 1801meter.  Kedudukannya bersempadanan dengan Pengkalan Hulu Perak.


pic google

Jalanraya yang menghubungkan kawasan Gunung Inas ini sering menjadi pilihan para penggemar aktiviti berbasikal. Bagi yang ingin mendaki, pendakian bolehlah melalui trek di Rekreasi Bukit Hijau sepanjang 9.3km.



Antara papantanda Hutan Simopan Kekal Gunung Inas
pic credit to : http://kamerakupang.blogspot.my

pic credit to: latalawin.wordpress.com

Bagi ahli fotografi, Hentian Rehat R&R Gunung Inas, sering menjadi tumpuan kerana ianya menyajikan pemandangna yang sungguh indah dan udara yang nyaman.

pic credit to : alharis.blogspot.my

"Kedah Malaysia..
where it all began"

Ahad, 5 Jun 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - GUNUNG BOKBAK

Assalamuaikum.

Daerah Baling memang kaya dengan gunung dan bukit. Untuk kali ini kita akan mengenali Gunung Bokbak. Gunung ini tidak terkenal tetapi menyimpan khazanah alam yang bernilai untuk dijelajahi. Juga dikenali dengan nama Bukit Baubak.

Berketinggian 1,199meter. Lebih tinggi berbanding Gunung Baling. Agak suka mencari info mengenai Bokbak @ Baubak ini. Memandangkan ianya kurang popular. Namun dengan info yang terhad ini, diharapkan para pendaki tegar diluar sana dapat meneroka dan seterusnya berkongsi info di alam maya ini.


Gunung ini menjadi sebahagian daripada gunung dalam deretan Banjaran Bintang yang menganjur dari Thailand Selatan. Terletak kira-kira 4km dari Kampung Tanjung Luas. Agak sukar mencari info mengenai gunung ini. Akhirnya terjumpa juga FB seorang pendaki saudara Rosleey Yakop yang pernah mendaki gunung ini. Dan disini akan dikongsikan gambar dari koleksi beliau untuk tatapan anda terutama yang meminati aktiviti hiking.



Bagi peminat aktiviti hiking yang ingin mendaki gunung ini, dan untuk mendapatkan info lanjut, disarankan teus menghubungi saudara Rosleey Yakob melalui akan FB beliau.





"Kedah Malaysia..
where it all began"

Isnin, 30 Mei 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - GUNUNG BALING

Assalamualaikum.

Dari air terjun, kita akan ke rimba mendaki Gunung Baling. Menjadi pilihan para pendaki tempatan, Gunung Baling menjadi tumpuan kerana keindahan alam semulajadinya. Kebanyakkan pendaki memilih untuk mendaki seawal pagi kerana ingin melihat matahari terbit dari puncak Gunung Baling.

pic credit to : topmalaysiatravel.com

Tidak sukar mencai lokasi Gunung Baling. Setibanya di Pekan Baling, dari jauh gunung ini sudah kelihatan dan berpandukan bangunan pusat latihan JPAM adalah cara termudah untuk menemui jalan masuk memandangkan bangunan tersebut betul-betul berada di kaki gunung tersebut.

pic credit to :underskinned.com



Berketinggian 420meter, pendaki akan mengambil masa 2-3 jam untuk sampai ke puncak. Gunung Baling ini merupakan sebuah bukit batu kapur.

pic credit to :underskinned.com


Kira-kira 20minit pendakian, para pendaki akan menemui sebuah gua di Gunung Baling ini iaitu Gua Kambing.Bagi mereka-mereka yang meminaki aktiviti lasak dan mendaki, Gunung Baling adalah pilihan yang tepat.

Bagi yang ingin mendaki dan perlukan info lanjut dari pengalaman dari yang pernah mendaki, dicadangkan lawati blog ini sebagai rujukan underskinned.com


"Kedah Malaysia..

where it all began"

Ahad, 29 Mei 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - AIR TERJUN LATA CELAK

Assalamualaikum.

Kali ini kita ke Air Terjun Lata Celak yang terletak di Kampung Iboi, Mukim Kupang, Baling Kedah. 

pic credit to: nizzix@panoramio

Walaupun Lata Celak kurang dikenali, tapi sebenarnya Lata Celak menyediakan panorama alam yang sangat cantik dengan sungai yang luas dan berbatu. Deruan air dicelahan batu mampu menjadi terapi minda yang menenangkan sesiapa sahaja yang berkunjung kesini.


pic credit to : budakkampung@panoramio


Sesuai untuk perkelahan sekeluarga. Air sungai batuan yang dingin dikelilingi redup pokok-pokok disepanjang sungai pastinya sangat sesuai untuk aktiviti keluarga untuk beriadah dihujung minggu.

Bagi yang suka aktiviti mendaki, anda boleh menjejaki punca air terjun Lata Celak dengan menyelusuri sungainya.Pasti berbaloi bila anda tiba nanti.

pic credit : http://www.impressions.my/

pic credit : http://www.impressions.my/


"Kedah Malaysia..
where it all began"

Sabtu, 28 Mei 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - AIR PANAS ULU LENGONG

Assalamualaikum.

Entri pertama untuk destinasi pertama di Daerah Baling. Air Panas Ulu Lenggong. Tempat tumpuan pengunjung dari dalam mahupun luar negeri Kedah tak kira siang mahu pun malam.
pic credit to : www.percutianbajet.com


Selain dari kolam air panas semulajadi, tempat rekeasi ini juga menyediakan kolam khas untuk wanita dan kanak-kanak, chalet penginapan dan dewan untuk seminar serta tapak perkhemahan.

pic credit to:www.percutianbajet.com


Kolam utama membekalkan sumber air panas kepada kolam-kolam yang lain. Berkeluasan 544.70 mps dan dalam 1.6meter, merupakan kolam yang terbesar. Para pengunjung tidak dibenarkan mandi di kolam ini kerana suhunya mencecah darjah kepanasan 50' C. Para pengunjung dapat melihat sumber mata air panas yang keluar di celah-celah batu sulfur yang terdapat di dalam kolam ini. 



Kolam ini untuk pengunjung yang datang berkeluarga atau pun berkumpulan. Terdapat 4 buah kolam yang berkeluasan 400mps. Mempunyai kedalaman diantara 1.3-1.6 meter dengan suhu mencecah 40'C. Para pengunjung dapat merendamkan kaki dengan selesa dan akan merasai khasiat rendaman di dalam air panas semulajadi.

Kolam ini dikhaskan untuk pengunjung wanita yang tidak selesa untuk mandi di kolam dewasa. Penghadang diwujudkan bagi menghalang pandangan orang ramai

pic credit to :www.touristlink.com


Kolam ini berkeluasan 148.17 mps dan suhu maksimum bagi kolam ini ialah 39'C. Kadar kedalaman kolam ini ialah 0.5-0.6 meter dan sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.Kanak-kanak yang mandi di kolam ini perlu diawasi oleh ibu bapa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Tedapat pelbagai pilihan chalet temasuk dorm disini dengan pelbagai harga dengan kadar berpatutan. Chalet menjadi pilihan bagi pengunjung yang ingin menikmati kepanasan air semulajadi pada waktu malam.


Bagi yang ingin membuat tempahan awal bilik dan sebagainya, bolehlah menghubungi nombor berikut;


Pusat Rekerasi Air Panas Ulu Legong
09100 Baling Kedah
TEL : 04-4721548, 04-4731024, 04-4731025
FAKS : 04-4731026
E Mail : prapul@mdbaling.gov.my

*foto dan info :http://mdbalingtourism.gov.my/



"Kedah Malaysia..

where it all began"

Khamis, 26 Mei 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - BALING

Assalamualaikum

Tamat sudah jelajah kita di Daerah Kuala Muda yang sebenarnya lebih tua dari namanya. Kini kita akan ke daerah seterusnya. Agak pedalaman namun keindahan alamnya mampu menarik pengunjung. Terkenal juga dengan sejarah kemerdekaan di mana Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertemu dengan ketua Komunis Malaya , Chin Peng untuk berunding.

pic credit to : www.kedah2u.com


Ia bersempadan dengan daerah Kulim di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat, daerah Sik di utara, Negeri Perak di sebelah tenggara dan Negara Thailand di sebelah timur laut. Ia mempunyai keluasan sebanyak 1530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi.

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Nama Baling juga dikaitkan dengan orang Siam(Thai) dan orang Burma(Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka "Ban-Lin" yang bererti "kera". Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi "Baling".

Untuk entri akan datang, kita kana menjelajah ke seluruh daerah Baling dan antara tempat menarik yang akan kita jelajah bersama adalah;


1.Air Panas Ulu Lenggong,Baling
2.Air Terjun Lata Celak,Baling
3.Gunung Baling
4.Gunung Bokbak
5.Gunung Inas
6.Gunung Kubang Badak
7.Gunung Pulai
8.Gunung Tok Bidan
9.Lata Bayu
10.Lata Bukit Hijau



"Kedah Malaysia..

where it all began"

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...