Memaparkan catatan dengan label Umrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umrah. Papar semua catatan

Selasa, 19 November 2013

TIPS DAN PANDUAN UMRAH

Assalamualaikum..

Seperti yang aku janjikan..aku kongsikan tips dan panduan ketika sebelum dan ketika mengerjakan Umrah dan ketika berada di Mekah dan Madinah. Tips ini adalah bedasarkan pengalaman aku sendiri.

Sebelum Berlepas
  • Oleh kerana cuaca panas, aku sarankan bawa bersama lip gloss (pakai ketika bukan waktu dalam Ihram)
  • Jemaah wanita seeloknya bawa dan pakai purdah. Bukan untuk riak atau menunjuk-nunjuk tapi pemakaian purdah (ketika bukan dalam waktu Ihram) mengelakkan kepanasan dan mengelakkan terhidu habuk dan sebagainya.
  • Bawa sun glasses atau dalam kata mudahnya cermin mata hitam. Ini kerana, selain cuaca panas, cahaya matahari yang terik adakalanya menyukarkan dan boleh menyakitkan mata.
  • Tak perlu berbaju kurung, semudahnya berjubah, bertudung labuh dan bersarung kaki (untuk jemaah wanita)sudah memadai untuk bersolat.



Ketika di Mekah/Madinah
  • Suka di ingatkan , bangsa Arab bukan bersopan seperti kita (sebab itu Allah turunkan Rasul dan Nabi dikalangan mereka)..maka bersedialah mental dan fizikal andai kepala anda dikuis dengan kaki ketika anda bersujud.
  • Beli simkad Arab untuk memudahkan berhubung dengan keluarga di Malaysia(kadar yang lebih rendah)
  • Kalau nak bersedekah, lebih baik sedekah pada tukang cuci di masjid dari pengemis di luar masjid
  • Elakkan berurusan dengan sesiapapun yang menjanjikan pertolongan menguncup Hajarul Aswad atau menggunting rambut (bertahalul) . Anda mungkin di pow dengan bayaran yang tak masuk dek akal..berhati-hatilah!
  • Jika ingin buat tawaf sunat, seeloknya selepas waktu Subuh (kira-kira dalam pukul 9 pagi)sebab waktu ini orang tidak seramai waktu Maghrib dan Isyak
  • Jika ingin membeli jubah, lebih baik beli di Mekah. Perbandingan harga yang aku buat, di Mekah lebih murah dari di Madinah
  • Jika minat Fridge Magnet dan ingin beli sebagai ole-ole, belilah di Masjid Hudaibiyah.
  • Jika berhajat nak beli buah zuriat, belilah di Jabal/Bukit Uhud
  • Jika nak beli kekacang,coklat dan sebagainya, elok beli di Masjid Quba
  • Ketika bertawaf jangan jalan beriringan kerana kebarangkalian anda dirempuh dari belakang dan mungkin akan menyebabkan anda terpisah sesama sendiri, sebaiknya jalan secara beratur/berbaris..lebih selamat 
  • Ketika menunggu giliran untuk memasuki Raudhah di Masjid Nabawi, elakkan mengambil wuduk di situ

Ketika Menunaikan Umrah
  • Waktu yang agak lengang untuk bertawaf (sunat atau umrah) ialah selepas Isyak , selepas Subuh (dalam pukul 8-10pagi)
  • Elakkan jalan beriringan ketika tawaf, sebaliknya jalan seperti beratur. Ini mengelakkan dari dilanggar jemaah lain.
  • Ketika Saie tak perlulah tergesa-gesa, hanya perlu berlari anak/berjalan cepat di kawasan lampu hijau sahaja
  • Sebelum tawaf buat perjanjian dengan sesiapa yang bersama anda , untuk tunggu dimana-mana "point" yang anda tetapkan sekiranya anda terpisah antara 1 sama lain
  • Jaga mulut lidah anda. Ingat setiap perkataan yang keluar dari mulut adalah doa..dan di sana, tempat yang mustajab doa, sebut yang baik maka baiklah jadinya..jika sebut sebaliknya, maka itulah jadinya
  • Elakkan menerima sebarang bantuan dari orang yang anda tidak kenali..tiada apa yang ikhlas di sini,terutamanya jika di tawarkan "pertolongan" untuk kuncup Hajarul Aswad dan untuk bertahalul.


Sebelum Bertolak Balik

  • Beli tali palstik(banyak dijual di Mekah/Madinah, ikat dan lilit beg sekemas-kemasnya(maaf, beg anda tak akan dimanjakan di Airport, hanya dilambung dan dicampak.Ikat untuk elakkan beg terburai.
  • Isikan air zamzam dalam botol(seeloknya beli botol yang tebal sikit), lilit penutup botol dengan sellotape, bungkus dengan kain atau baju dan simpan dalam beg untuk di bawa pulang ke tanah air.(bersedia sendiri,jangan harapkan agensi bagi air zamzam, takut jadi macam kes aku..3 bulan balik baru dapat air zam-zam..tetamu datang, melopong je tak merasa!)
Itu sahaja yang dapat aku kongsikan dengan korang. Semoga tips ini sedikit sebanyak dapat membantu korang yang berhajat ke sana 1 hari nanti..

Isnin, 18 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 17 (AKHIR)

Assalamualaikum..


Day 10 - 28 Mei

Hari-hari terakhir di Madinah..aku habiskan sepanjang hari di Masjid Nabawi. Ingin aku kongsikan di sini, di Masjid Nabawi kawalan amat ketat.. terutama di bahagian jemaah wanita. Setiap beg diseluk dan diperiksa kerana mengalang jemaah membawa masuk kamera, sedangkan di bahagian lelaki memang tak ada masalah pun. Tidak seperti di Masjidil Haram yang kawalannya tidak terlalu ketat..dan aku masih tak faham kenapa rumah Allah di kawal sebegini..

Tiada salahnya berkongsi gambar keadaan dalam masjid, mungkin ada yang bukan muslim boleh terbuka hati menerima Islam hanya kerana melihat gambar masjid. Siapa tahu?Allah jua yang Maha Mengetahui.

So kepada sesiapa yang ingin membawa masuk kamera, atau handphone yang canggih tu, ada caranya. Aku tak boleh ceritakan di sini. Siapa yang nak tahu cara aku, boleh tinggalkan email..akan aku ceritakan nanti....heheeh..




waktu Asar..sempat aku ambil gambar ,itupun secara sorok-sorok sebab kalau ternampak dek pengawal, maka hilanglah kamera aku..dirampas!

payung masjid yang sudah tertutup..

Selepas solat Asar, aku , emak dan 2 orang rakan sebilik memilih untuk lepak-lepak dan bersolat maghrib di laur masjid.  Sempat aku saksikan bagaimana puluhan payung gergasi di Masjid Nabawi ditutup secara sistematik..

Usai solat maghrib, jemaah disaran terus solat jamak untuk Isyak. Dan sesegera mungkin kembali ke hotel dan bas telah pun menunggu. 

Sekitar jam 9malam, bas mula bergerak ke Lapangan Terbang Madinah 

Ratusan beg jemaah berbaris untuk di check-in

Menaiki pesawat yang sama ketika datang dan berlepas pulang ke tanah air kira-kira jam1pagi (waktu Arab) atau 8malam waktu Malaysia..

Selesailah sudah perjalanan aku mencari redha Allah..aku bermohon agar Umrah aku dan amal ibadat aku diterima dan pada korang yang belum sampai ke sini juga akan sampai 1 hari nanti. Pelbagai kenangan pahit dan manis aku lalui di sini..

Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Allah telah menjemputku bersama ibu bapa ku. Inilah kenangan terindah dalam hidup. Mungkin ini kali pertama dan terakhir..namun aku tetap  berdoa agar aku dapat kembali ke sini bersama suami yang aku cintai. Tapi mungkin tidak akan pergi lagi dengan Tiram Travel..(Tiram Trouble kata kawan aku). Banyak masalah dengan agensi ni dan secara totalnya aku amat tak berpuas hati dengan agensi ini.

Sudahlah pakej asal 12hari..di tukar jadi 10hari. Dan harga pakej yang aku bayar adalah untuk 12 hari. Selebihnya maaf  cakap, aku tak halal sebab memang tertipu bulat-bulat. Masing-masing lepas tangan dan tak mengaku salah hingga akhir sekali aku "mengaku" aku yang salah sebab pilih Tiram Travel. Aku dan bukan aku seorang jemaah yang tidak tahu jadual penerbangan yang asalnya ke Madinah telah bertukar ke Jeddah. Kembali dari Mekah aku ada hubungi HQ di Johor Bahru, cawangan pula yang disalahkan. Kisahnya aku kerugian tiket kapal terbang untuk balik dari KL ke Alor Setar sebab ambik tarikh 29 Mei (tarikh asal) sedangkan aku tiba di KL 28 Mei.

Tentatif atau aturcara perjalanan aku perolehi setengah jam sebelum berlepas itupun setelah 3-4 kali aku telefon cawangan di Sg.Petani dan kemudian HQ di JB. Mujurlah handphone canggih yang aku bawa, maka di emailkan kepada aku. 

Kisah air zamzam yang dijanjikan 10liter seorang hanya diterima 3 bulan lepas balik dari Mekah, itu pun hampir 10kali aku telefon. Akibat ketamakkan agensi yang sekali bawa 120 orang jemaah, kami di jamu makan menggunakan pinggan polisterin sedangkan jemaah dari negara jiran makan dalam pinggan kaca. Bukan aku nak berkira bab pinggan tu, tapi teruk sangat keadaan tu. Bersudu plastik dan bercawan kertas. Agensi nak untung tapi kebajikan jemaah terabai sama sekali!

Aku sedikit pun tak takut andai ada pihak Tiram Travel yang baca entri ini sebab bukan aku sorang yang terkena, tapi 120 orang jemaah lain. Dan bukti pembayaran serta tentatif asal masih ada di tangan aku. Pendek kata segala kerugian yang aku tanggung, tidak aku halalkan kerana kelalaian, kecuaian dan ketamakkan agensi. Maaf cakap..bukan aku sorang..tapi 120 orang yang lain. Kepada yang bertanggungjawab..jawablah di "sana" nanti.

Semoga catatan aku ini menjadi pengajaran kepada bakal jemaah yang lain. Jangan tertark pada pakej yang harga murah..kelak sakit hati kemudian hari. Sebaiknya carilah pakej lain..biarlah mahal sikit asalkan berbaloi dengan apa yang dibayar. Apa yang aku lalui aku anggap ujian Allah pada aku.

Esok aku akan kongsikan sedikit tips dan panduan kepada yang berhajat untuk menunaikan Umrah. Dan harapnya tips itu bermanafaat kepada korang dan aku dapat tumpang pahala juga..

Pesan aku..kepada yang belum menunaikan Umrah, jika berpeluang, pergilah. Kita boleh berbelanja beli barang ribu-ribu..boleh tukar handphone canggih yang mahal-mahal..boleh beli kereta...boleh pergi bercuti keluar negara..apa salahnya kalau pergi umrah. Banyak pakej yang harga lingkungan RM5-7 ribu.

Aku yakin dengan kata-kata ini " Jika kita ada niat dan berusaha, insya Allah , semuanya akan diperkenankan"..maka pasanglah niat, berdoa dan berusaha..semoga 1 hari nanti kita semua akan dijemput kesana..amin..

Sekian..catatan dari Tanah Haram...

Ahad, 17 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 16

Assalamualaikum...

Masih lagi diladang kurma. Disini ada tempat jualan kurma. Pada aku harga disini biasa-biasa saja. Kalau nak beli kurma nabi , bolehla beli di sini. Kalau tak beli sahaja di Pasar Kurma di Madinah.

suasana dalam kedai jualan yang sangat riuh rendah


Selesai membeli kurma (aku beli kurma Nabi je), perjalanan diteruskan ke kilang percetakkan Al-Quran.

Pintu hadapan kilang percetakkan Al-Quran

Bas berhenti di perkarangan kilang. Hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenar masuk. Dan jemaah wanita menunggu dalam bas. Demi menjaga kesucian Al-Quran, bimbang ada jemaah wanita yang dalam haid, masuk ke dalam kilang. Setiap pengunjung lelaki akan di hadiahkan Al-Quran . Dan tiada hadiah untuk jemaah wanita.

Maka tiadalah gambar yang boleh aku kongsikan mengenai kilang ini..maka selesailah ziarah hari ini dan bas bergerak pulang ke hotel di Madinah.

Dalam perjalanan balik..masih ada beberapa gambar yang sempat aku ambil..


Al-Tayar..yang pastinya bukanlah kedai tayar..aku tak pasti kedai apa..heheh

dan bas melalui salah 1 masjid yang cukup bersejarah. Memandangkan jalan amat sesak ketika itu, bas tidak berhenti, tetapi melalui masjid ini supaya jemaah dapat melihat dengan lebih dekat..

perkarangan sebelah kanan masjid

menara masjid dan 2 buah kubah yang berlainan arah..


ya..inilah Masjid Qiblatain atau masjid 2 kiblat. 1 menghala Masjid Al-Aqsa atau Baitulmuqaddis(Jerusalem yakni kiblat pertama umat Islam) dan 1 lagi menghala Baitullah(Kaabah di Mekah)..

Menurut sejarah, ketika Rasullulah SAW sedang bersolat zohor,turunnya wahyu meminta Rasulullah mengalihkan kiblat ke Mekah, dan mulai saat itulah, kiblat kita adalah Baitullah(Kaabah). Untuk mudah memahaminya, aku pinjam gambar dari google untuk korang..

Bas hanya melalui dan tidak berhenti..agak kecewa disitu..dan meneruskan perjalanan balik ke Madinah..

Tiba di Madinah sudah hampir masuk waktu Zohor..aku dan emak terus ke masjid untuk bersolat dan membaca Al-Quran yang masih berbaki beberapa helai untuk khatam..


dan catatan terakhir akan bersambung esok...

Sabtu, 16 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 15

Assalamualaikum..

Masih lagi di Bukit Uhud.


Bukit kecil ini terletak di hadapan Bukit Uhud temapt dimana Rasulullah menempatkan pemanah-pemanah Islam



Amaran: dilarang berdoa menghadapkan muka ke arah perkuburan. Jika ingin berdoa, belakangkan perkuburan kerana Kiblat adalah dari arah bertentangan. Pun begitu masih ada yang berdoa menghadap perkuburan

Cermin penghadang ini memang kabur..maka kabur jugalah gambar yang aku ambil ni.


Selesai berdoa dipimpin mutawif, matahari sudah meninggi walaupun baru pukul 10 pagi. Suka aku kongsikan di sini, jika sesiapa yang ingin membeli buah zuriat yang sangat popular untuk tujuan perubatan, boleh beli di sini dan harganya sangat murah dan banyak di jual.

Banyak tempat aku dah pergi, tapi di sinilah paling banyak dijual . Disekitar kawasan Uhud ni memang ramai peniaga. Maka belilah di sini. Dan aku amat hairan kenapa ada pihak yang mengambil kesempatan dan sanggup menjual kembali buah zuriat itu dengan harga berpuluh kali ganda (pernah aku jumpa RM20 untuk 1 biji) sedangakan di sini, 1 bungkus (lebih kurnag 10 biji) harganya dalam 5-10Riyal (aku dah lupa, tapi sekitar itulah harganya)

Kepada sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan buah zuriat itu, kirimlah pada sesiapa yang nak pergi umrah..dan pesanlah kepada mereka, beli di Bukit Uhud..ini pesan aku.


Perjalanan ziarah diteruskan lagi ke ladang kurma..

tiba-tiba nampak KFC..

Tiba di ladang kurma ketika jam menjengah 11pagi..panas membahang seperti pukul 1..

Ini bukan pokok kelapa sawit ye..inilah pokok kurma


Ketika tiba, pokok inisedang berbuah dan masih bukan musim menuai. Menurut maklumat yang aku dapat, pokok kurma hanya boleh dituai buahnya dimusim panas yakni bulan puasa. Dan bulan puasa adalah musim paling panas di Mekah dan Madinah. Sebab tu kurma banyak ketika bulan puasa.

Entri bersambung...

Jumaat, 15 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 14

Day 9 - 27 Mei

Hari ini aktiviti ziarah atau dalam kata lain, jalan-jalan .. Bermula lebih kurang jam 8pagi selepas sarapan.

dari hadapan hotel di Madinah..dekat aje dengan Masjid Nabawi.


Perkuburan Baqi' (di sebut BA-KIAQ). Di sinilah jemaah haji dan umrah dikebumikan sekiranya meninggal di Madinah


Madinah lebih subur dari Mekah..serata jalan boleh nampak pokok kurma. 

Perjalanan diteruskan ke Masjid Quba. Jemaah awal-awal lagi dinasihatkan supaya mengambil wuduk di hotel dan menjaga agar tidak batak wuduk memandangkan semua jemaah hendaklah merebut peluang untuk bersolat sunat 1 rakaat dan sunat dhuha di masjid ini

Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasullullah SAW di Madinah pada tahun 1 Hijrah bersamaan 622 Masihi.Fadilat bersolat di masjid ini bersamaan sekali mengerjakan Umrah.




Alhamdulillah aku dan emak berpeluang bersolat didalam masjid ini dengan mudah walaupun jemaah ramai. Selesai solat terus keluar kerana memberi peluang kepada jemaah lain.

Di sekitar masjid ini juga terdapat kedai-kedai menjual kurma, kekacang, coklat dan sebagainya. Aku sarankan kepada sesiapa yang ingin membeli ole-ole (makanan) eloklah beli di sini. Harganya biasa-biasa sahaja tapi banyak pilihan.

Perjalanan di teruskan ke Jabal Uhud (Bukit Uhud) tempat dimana berlakunya perang Uhud iaitu perang ke 2 berlaku dalam sejarah Islam. Berlaku pada tahun ke-3 Hijrah antara tentera Islam dan Musyrikin Quraisy.


Banjaran Bukit Uhud

Kawasan yang berpagar dan berpapan tanda biru itu adalah perkuburan 70 syuhada Uhud termasuklah bapa saudara Rasullullah yang terkorban iaitu Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib.

Menurut cerita lagi, semua syuhada dikebumikan dengan lengkap berbaju perang. Kisah perang Uhud ni mengajar kita agar jangan melanggar perintah Allah, jangan tamakkan harta..bagi yang tidak tahu kisah Uhud, silalah google sebab aku tak pandai bercerita.

Bersambung...

Khamis, 14 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 13

Assalamualaikum..

Aku sambung kisah Raudhah..

Disini, diskriminasi trhadap orang Asia amat ketara. Bukan mudah untuk memasuki Raudhah. Semua jemaah berkumpul ikut  benua. Maka orang Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura ditempatkan dengan papantanda "Indonesia".

Punyalah lama menunggu dari pukul 8 pagi..hingga pukul 11 belum tiba giliran. Untuk masuk ke Raudhah 3-4 kali stepnya. Dilepaskan kumpulan arab,india dan entah apa lagi kaum puak yang kasar-kasar. Orang Asia yang bersopan hanya diberi masuk akhir sekali.

Pun begitu, ada beberapa Mutawif wanita dari Indonesia yang sudi berkongsi ilmu sementara menunggu giliran. Tutur katanya sopan, nasihat demi nasihat diberikan.

Kamera memang tiak dibenar masuk..tapi aku sembunyi-sembunyikan juga, kerana ini bukan boleh dilakukan selalu, maka aku ingin berkongsi denga saudaraku dan korang semua.

Suka aku ingatkan, di kawasan ini DILARANG BERWUDUQ menggunakan botol spray. Aku tak pasti kenapa. Jika dilihat pengawal wanita , pasti botol itu akan dirampas. Mutawiffah Indonesia itu sempat berpesan, andai batal wuduk, hendaklah redho, anggap itu ketentuan Allah. Tak apa kalaupun tidak dapat bersolat di Raudhah, cukuplah dengan berbanyakkan berdoa. Sebelum itu, berillah salam pada Rasullullah (yang di mahkamkan sebelah Raudhah).

Jemaah wanita memang takkan dapat hampir dengan Mahkam Rasullullah SAW dan para sahabat..kerana telah dibina penghadang. Hanya jemaah lelaki yang boleh menghampiri mahkam itu.

Yang membezakan Raudhah dan bukan Raudhah adalah karpet..Karpet yang berwana hijau itulah kawasan Raudhah, dan karpet warna merah, bukan kawasan Raudhah.

Bila tiba giliran orang Asia, masih ada wanita arab yang berdegil tidak mahu keluar dari Raudhah menyebabkan kawasan Raudhah yang sempit itu makin sesak. Berhimpit-himpit dan di sinilah masing-masing jadi manusia yang pentingkan diri.

Kesian dengan mak aku yang terhimpit. Mujurlah Allah Taala jadikan aku berbadan besar, hampir saja aku ditolak keluar kerana pengawal ingat aku orang Arab kebetulan aku memakai telekung dan jubah hitam.

Aku berpaut pada tiang. Mak tak boleh bersolat secara biasa kerana keadaan yang begitu sesak. Mujur aku nampak  1 kerusi, Sambil tangan kanan memeluk tiang, kerusi aku letakkan di bawah lengan kanan dan aku suruh mak solat sambil duduk di atas kerusi sementara aku melindungi mak dari ditolak dan dipijak.

Selesai mak bersolat, giliran aku pula. Aku berserah pada Allah dan mohon solat dan doa aku diterima memandangkan ketika tengah bersolat, kedudukan aku berganjak kerana ditolak dan mak tak mampu melindungi aku..

Disini juga lah aku menyampaikan salam saudaraku dan sahabat handai kepada Rasullullah..

Selesai solat, dan berdoa, aku tidak lama dalam Raudhah. Aku kesiankan mak, lalu memimpin mak keluar dari Raudhah. Aku katakan pada mak, tak perlulah lama-lama disitu, bagilah peluang pada jemaah lain..moga-moga dapat berkongsi pahala mereka kerana beri laluan dan peluang untuk mereka.


bahagian lelaki..mujurlah ketinggian 170cm aku ni membolehkan aku menghulur kamera dari atas penghadang untuk mengambil gambar disebelah kawasan lelaki..aku snap saja apa yang ada.

itulah tangga mimbar tempat Rasullullah SAW menyampaikan khutbah

dari Raudah perlu melalui laluan ini..aku pun tidak tahu tempat apa, tapi banyak warga Indon yang bersolat disitu walaupun pengawal menolak mereka keluar ketika mereka bersolat.

Ketika aku bersandar di tiang menunggu 2 lagi rakan sebilik...barulah aku tahu, rupanyan laluan itu dikatakan rumah Saidatina A'aishah..dan beliau meninggal dunia dan dikebumikan di situ juga kerana ruang yang sempit, maka jenazahnya disemadikan di dalam rumahnya..dan tingkat atas itu adalah tempat Rasullullah menyampaikan Khutbah terakhir..

Aku tak pasti kesahihan cerita itu..mungkin iya..mungkin tidak. Susah juga bila tiada mutawif wanita dari Malaysia, tiada tempat rujukan dan bertanya, hanya menumpang ilmudenga mutawiffah dari negara jiran.




Aku terus berada di sini, berehat dan melihat karenah manusia..

Insya Allah..sambungan akan diteruskan dientri akan datang..moga korang tak jemu membaca catatan aku ni..

Rabu, 13 November 2013

UMRAH HAMBA ALLAH - PART 12

Assalamualaikum..

Perjalanan ke Madinah.. tiada apa yang dapat dilihatkan hutan batu..padang pasir yang kering dan tandus.

Terlintas difikiran aku, bagaimanalah keadaan Rasullullah SAW dan para sahabat yang berhijrah dulu..merentasi jarak 400km dengan menaiki unta, ada yang berjalan kaki, hinggakan mengambil masa berbulan-bulan untuk tiba di Madinah..masya Allah..tak sanggup rasanya aku..

Perjalanan melalui lebuhraya yang tidak bertol..

Akhirya bas berhenti seketika untuk solat . Seingat aku inilah 1-1nya tempat rehat (R&R) di lebuhraya ini. Dengan surau yang amat sempit, tandas lebih kurang 6 pintu sahaja berbanding jutaan jemaah di musim haji. Semuanya perlu bergilir-gilir..

R&R..didalam bangunan ini ada restoren..sesiapa yang berhajat untuk merasa kebab Arab yang original, boleh beli di sini..



Perhatikan di hujung gambar..sebuah bangunan kecil yang pintu tidak berdaun..itulah tandas dan temapt berwuduq yang bersambung disebelah kanannya adalah suarau yang hanya mampu muat kira-kira 20-30 orang dalam 1-1 masa..itupun terpaksa berhimpit-himpit..dalam keadaan panas..suka di ingatkan, dalam surau ini tiada kipas walaupun panas..

Perjalanan diteruskan..senja makin berlabuh..


Dan aku terlelap seketika. Pun begitu aku tersedar pada waktu maghrib dan terus bersolat isyarat untuk Maghrib dan Isyak.

Tiba di Madinah lebih kurang jam 10 malam..


Malam ini aku, emak dan 2 rakan sebilik hanya berehat di hotel tidak kemana-mana kerana keletihan..hinggakan kami tidak waktu Subuh dan tiada seorang pun dari kami berempat yang bangun awal..maka terpaksalah kami bersolat Subuh dalam bilik hotel kerana sudah terlewat untuk berjemaah.

*****


Day 8 - 26 Mei

Selesai sarapan pagi, kami berempat berjalan kaki ke Masjid Nabawi yang terletak hanya kira-kira 50meter dengan hotel. Pagi ni aku mengikut rakan sebilik yang pernah menunaikan Umrah sebelum ini..merekalah yang membawa aku dan emak memasuki Raudah..satu antara taman-taman syurga...yang terletak dalam Masjid Nabawi iaitu antara rumah Saidatina A'aishah dengan masjid (yang kini sudah menjadi Masjid Nabawi kerana masjid telah dibesarkan)

teruja melihat payung-payung ini berkembangan...



Aku mengikut mereka kerana mereka lebih berpengalaman dan aku sangat berterima kasih kepada mereka kerana sudi membawa aku dan emak bersama-sama mereka.

Apa yang terjadi ketika hendak memasuki Raudhah?..sambunganya akan menyusul...

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...