Rabu, 31 Oktober 2018

KERABU SOTONG ALA THAI

Assalamualaikum.

Resepi seterusnya..sedap dimakan begitu sahaja. Kerabu Sotong. Aku buat ni untuk makan dengan nasi lah..tapi suami aku makan macam tu aje..dah macam makan bihun goreng pulak aku tengok. Bahan-bahan pun mudah  dapat.


Bahan-bahan;
2 pek soun (agak-agak dapat semangkuk)
6-7 ekor sotong saiz besar - rebus dan potong
1 ikat daun ketumbar
2 ulas bawang merah -dimayang
2 ulas bawang putih - ditumbuk
5-6 tangkai cili padi - diracik
Sos nampla (kalau tak ada,guna aje garam atau kicap cair)
1 biji limau nipis -ambil airnya

Cara-cara;
Mudah je. Celur soun dengan air panas sampai lembut dan toskan. Gaul dengan  semua bahan.. perasakan sesedap rasa dengan sos nampla dan sedikit gula atau serbuk cukup rasa..siap.

Hihi..senang kan?

Selasa, 30 Oktober 2018

PUDING JAGUNG KASTARD 4 BAHAN

Assalamualaikum.

Suka pulak cerita pasal masak-memasak ni. Kalau dulu, blog ni penuh cerita travel dan hasil jahitan manik. Tapi kali ni aku nak kongsikan segala bagai benda yang terperam dalam handphone aku sejak 2 tahun yang lalu.

Sedar tak sedar, banyak rupanya resepi yang aku sendiri dah cuba dan berjaya tapi tersimpan aje dalam memori kad. Dari aku guna Samsung Note 1..rosak ..tukar Lenovo S930..rosak juga hinggalah yang terkini kembali kepada Samsung C9Pro..bayangkanlah..beribu-ribu keping gambar..tangkap aje,cucinya tidak.

Ok dah cerita pasal telefon ..Jom..kita ke resepi seterusnya.


Bahan-bahan;
1 cawan jagung atau 1 tin jagung manis sweet corn
1 cawan tepung kastard
1 cawan gula
1 liter susu segar penuh krim

Cara-cara;
Masuk semua bahan dalam blender dan blend sekejab. Masuk dalam periuk dan kacau atas api sederhana sampai pekat..tuang atas loyang, sejukkan..



Tadaaaa!!! siap.. senang kan? Ok.. apa lagi , jom try!


Isnin, 29 Oktober 2018

PUDING ROTI SOS KASTARD

Assalamualaikum

Harini nak share menu kegemaran aku Puding Roti dengan kuah Kastard. Senang je sebenarnya. Bahan pun tak susah. 

Bahan-bahan: 
Puding Roti:-
12 keping roti gardenia 
1/2 liter susu segar 
6 sudu besar gula 
1/4 buku dari 250gm butter ( dicairkan )
1 kotak kecil kismis -nak lebih pun boleh
2 biji telur 
1 sudu teh esen vanilla

Sos Kastard:-
1 tin susu sejat
1/2 tin air
3 camca kastard
1/2 cawan gula(boleh tambah kalau suka manis)
***untuk sos,aku selalu gandakan sebab aku suka sos banyak..biar banjirrrr

Cara-cara;
Puding Roti:-
1. Gaul susu, gula, butter cair, telur dan esen vanila bagi sebati.
2. Lenserkan loyang dengan margerin, koyakkan roti dan rendam dengan susu yang siap gaul tadi dan susun dalam loyang tabur kismis dan susun lagi roti .Ulang sampai roti habis. Kalau ada lebihan susu tadi,tuang aje atas roti.
3.Bakar atau kukus 20-25minit. Siap


Sos Kastard:-
1. Bancuh semua bahan sampai sebati
2. Masak sehingga sedikit likat dan mendidih.
3. Sejukkan dalam peti (letak kat bawah je)

Potong puding roti, letak dipinggan dan siram sos bagi banjir.. Masya Allah.. sedapnya wehh..huhu..

Roti panas yang disiram sos sejuk..pergghhh..kancing gigi aku dibuatnya

Ahad, 28 Oktober 2018

SIZZLING MEE TANPA HOT PLATE

Assalamualaikum.

Hari-hari makan nasi pun muak juga rasanya. Sesekali tukar selera makan mee pulak. Biasanya sizzling mee kena makan kat kedai sebab ia dihidangkan atas hot plate. Dia punya asap berkepul-kepul depan hidung.

So, takkanlah tiap kali nak makan sizzling mee, nak kena makan kat luar kan? Apa kata buat sendiri. Tak susah pun sebenarnya. Bahan pun simple je.

Meh sini aku ajarkan cara nak buat sizzling mee kat rumah, hidang tanpa hot plate tapi dia punya asap tu puas jugak nak tiup. Resepi ni boleh makan 4-5orang.

Bahan-bahan;

Untuk kuah:-
6 ulas bawang putih -tumbuk kasar
2 ulas bawang merah -tumbuk halus
1/3 ekor ayam -potong jangan kecil sangat, saiz agak-agak macam kat restoran
10 biji dry mushroom atau cendawan shitake (kat supermarket ada jual yang basah. Kalau beli yang kering,rendam dalam air bagi dia kembang dan potong sederhana nipis)
4-5 tangkai cili kering - potong 2inci
1/2 cawan kicap manis
2-3 camca kicap pekat(optinal..tak letak pun ok je)
1/2 cawan sos tiram
4 camca tepung jagung bancuh dengan 1 cawan air biasa.
Serbuk lada sulah

Untuk hidang:-
Yee Mee
Telur ayam
Sawi

Cara-cara masak kuah;
1. Panaskan minyak,tumis semua bawang dan masukkan ayam untuk matikan air dan ketepikan ayam.
2. Lebihan minyak tadi masukkan cili kering dan cendawan, kacau kejab dan masukkan 3 cawan air, kicap dan sos tiram. Biarkan didih.
3. Masukkan ayam dan air tepung jagung. Boleh juga letak serbuk cukup rasa. Tak perlu garam sebab kicap pun dah masin. 
4. Percik sedikit serbuk lada sulah.

Cara-cara hidang untuk 1 orang;
1. Panaskan kuali dan masukkan 1 senduk besar kuah dan 1 keping yee mee dan biarkan 1minit
2. Masukkan 1 biji telur dan tambah 1 senduk lagi kuah, tunggu sampai kuah menggelegak dalam 2-3minit.
3. Masukkan sawi sebentar dan terus alihkan mee ke pinggan. Jangan lupa sendukkan ayam dan cendawan dari periuk kuah tadi ke atas mee. Jangan cakap sawi mentah ye..kuah yang panas gila tu dah cukup buat sawi layu.

Telur aku dah tertimbus bawah ayam.🤣🤣

Cara aku buat ni, kiranya setiap kali nak makan, aku akan ulang cara hidangan kat atas tu..untuk setiap pinggan. Barulah best..asal berkepul-kepul makan panas-panas..layan..

Sesetengah orang, masukkan minyak bijan..tak kuasalah aku nak cari minyak bijan..guna je apa yang ada kat dapur. 

Sebenarnya dah banyak kali aku buat sizzling mee ni. Suami aku suka sungguh makan. Sampaikan aku beli yee mee kering tu simpan buat stok. Yee mee sekarang dah banyak buatan muslim bumiputera. Boleh makan tanpa was-was. 

Harap korang cuba ye. Jimat betul buat kat rumah ni. Ok. Selamat memasak.

Adeuss!!


Sabtu, 27 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN INDIA : AYAM VARUVAL

Assalamualaikum.

Asyik makan masakan selera melayu aje, boring jugak. Hari ini kita cuba menu masakan India pulak. Nama menu ni Ayam Varuval. Yang aku tahu maksud varural ialah garing..tapi bila dah masak ni, tak tahu pulak aku kat mana yang garing tu..apapun, menu ni memang sedap.


Bahan-bahan;
1/2 ekor ayam
2 sudu serbuk kunyit
2 sudu serbuk kari ayam
2 inci halia -tumbuk
3 ulas bawang putih -tumbuk
2 ulas bawang merah -tumbuk
Garam
***perapkan ayam dengan bahan-bahan ni.

4 ulas bawang putih - dimayang
2 ulas bawang merah - dimayang
1 labu bawang besar -dimayang
1 inci halia -tumbuk
2 biji tomato
5 tangkai cili kering - potong 3
2 tangkai daun kari
4 camca jintan manis
3 camca serbuk cili

Cara-cara;
1. Goreng / deep fry ayam yang diperap tadi dan ketepikan.
2. Panaskan minyak, goreng cili kering dan ketepikan.
3. Tumiskan jintan manis dan ketepikan
5. Tumis bawang putih, bawang merah, halia dan daun kari.
4. Masukkan serbuk cili ( jangan letak air ), tumis sekejab, tambah bawang besar dan tomato.
5. Akhir sekali masukkan ayam, cili kering, dan jintan manis yang digoreng tadi, garam dan gula sesedap rasa.
Siap..


1st time makan..serius memang sedap..ralit pulak makan dengan nasi panas-panas. Budak-budak pun boleh makan sebab tak pedas sangat pun..mesti cuba ok!

Adeuss!!

Jumaat, 26 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN JAWA : LONTONG

Assalamualaikum.

Sinonim dengan raya..lontong atau sayur lodeh adalah kegemaran suami. Setiap kali raya aku akan buat untuk dia..tanda kasih untuk suami yang dah tak ada mak ayah untuk berhari raya.

Hari ini aku kongsikan resepi lontong cara aku. Gambar yang aku letak kat sini pun, gambar lama..raya tahun bila pun aku dah lupa.. sebab dah selalu buat lontong.. ke excited kan untuk ambik gambar lontong tu dah tak ada..huhu

Bahan-bahan;
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 batang serai
2 inci halia
2 inci lengkuas
3 camca udang kering(lagi banyak lagi bagus)
***blend semua bahan ni

1/4 ekor ayam (aku derhaka bab ni..sorry..biasanya orang tak letak pun..)
Udang kecil anggaran 1 cawan
1 liter santan sawit

2 biji kentang
1 biji ubi sengkuang (besar penumbuk)
1 batang karot
***potong macam funfries..memanjang
5-6 btg kacang panjang
Kobis anggaran 1 mangkuk
2 keping tauhu
2 keping tempe
1 pek Pucuk dan soun
1 kiub ayam

Cara-cara;
1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan-bahan blend sampai naik bau,masukkan ayam dan 2 cawan air,masak sampai didih.
2. Masukkan ubi-ubian dulu dalam 2-3minit baru masukkan lain- lain rencah.
3. Masukkan santan,pucuk dan soun serta udang kecil. Perasakan garam dan masukkan kuib ayam.

Hidangkan atas nasi himpit dan sambal ikan bilis atau kuah kacang. 


Gambar kurun bila ntah..belasah aje lah.

Ada orang buat lontong letak terung..aku tak berapa suka terung..tapi aku biasanya letak pucuk dan soun bagi lebih.

Biasanya untuk memasak benda bersantan,aku gunakan santan sawit sebab tak ada kolesterol dan susah nak basi..kecuali masak rendang aje aku gunakan santan asli..pasal rendangbtak sedap kalau santan tak pecah minyak. Itulah tips aku. Tak ada orang ajar pun..aku yang try sendiri..

Oklah..esok kita cerita resepi lain pulak.

Adeuss!!

Khamis, 25 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN JAWA : PECEL LELE

Assalamualaikum

Mula-mula dengar nama menu ni..soalan pertama aku tanya dengan suami..lele tu apa? Oohh..rupanya lele tu ikan keli 😂. Kiranya ikan keli masak pecel.. bila aku tanya..pecel tu apa? Masak lemak daun cekur.. amboi..panjangnya translate dia ye.

Suami aku memang hantu ikan keli. Aku je tak berapa suka. Seram tengok kepala dia..tapi sebab suami suka makan maka aku pun terpaksa masak.. tambat selera suami kononnya..Resepi aku ni versi derhaka ...sebabnya mana nak cari keli salai kat Kedah ni. Tak sempat salai dah kena goreng!

Bahan-bahan ;
3 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 cawan cili padi
Kunyit hidup besar ibu jari
3-4biji ubi cekur (takde pun ok je)
*** blend semua bahan ni.

4-5 ekor ikan keli ( patutnya yang salai,tapi aku belasah goreng je..letak garam kunyit dan goreng)
3 cawan santan
2-3 keping asam keping/gelugur
7-8 helai daun cekur- mayang nipis
1 mangkuk pucuk ubi kayu direbus dan hiris nipis - ni yang aku cakap resepi derhaka..tak letak pun tak pe..saja aku suka menyusahkan diri
Garam, gula perasa sesedap selera

Cara-cara ;

Masukkan semua bahan (kecuali ikan, daun cekur dan pucuk ubi kayu) ke dalam periuk, tambahkan sedikit air,agak-agak je untuk kuah, dan hidupkan api dapur anda. Kacau-kacau..bila dah didih baru masukkan ikan, daun cekur dan pucuk ubi kayu, garam gula perasa sesedap rasa..didihkan. Siap!

Ada yang suka tumis dulu..aku pulak buat ikut suka dan suami cakap sedap..oklah kalau dia sedap.
Tengok..derhaka punya pasal, meriah pulak pecel aku dengan rimbunan daun..sabor je lah.

Ok..itu aje untuk harini..

Adeuss!!

Rabu, 24 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN JAWA : SAMBAL TAHUN

Assalamualaikum.

Sementara mood berblog dah kembali..aku nak penuhkan dulu dengan resepi yang aku dah cuba. Minggu ni semua resepi masakan jawa. Walaupun aku anak jati Kedah, tapi bagi memenuhi selera suami, aku belajar masak semua menu orang jawa.

Alhamdulillah..kena dengan selera suami. Harini aku nak kongsi resepi Sambal Tahun. Mula-mula dengar pasal Sambal Tahun ni,aku pelik juga. Kenapa nama dia Sambal Tahun? Mengikut cerita suami aku, sambal ni lagi lama lagi sedap..lagi panaskan..lagi sedap. Umpamanya setahun pun sedap..entahla betul ke tidak yang dia cerita tu. Maka aku pun berguru dengan google dan cuba masak..

Bahan-bahan;
Setengah kilo lengkuas(agak-agak je ye) hiris nipis-nipis dan rebus
1kg kerang (rebus dan ambik isi)
1 cawan udang kering (kadang-kadang aku belasah udang hidup jer)
1 cawan ikan bilis (tak letak pun tak pe. Saja aku mengada-ada)
1 mangkuk cili padi(cili kampung/burung lagi best)
1 inci belacan
1/2 cawan  air asam jawa 
4 labu bawang besar -blend
10 ulas bawang merah-di mayang
1 labu bawang putih-di mayang
2 cawan santan (aku guna santan sawit)
Garam, gula perasa sesedap selera

Cara-cara;
1. Tumis semua bawang yang dimayang dan belacan lepastu masukkan bawang besar yang diblend.
2. Masukkan semua bahan dan sedikit air kecuali santan(sekali jalan je aku harung) .
3. Akhir sekali masukkan santan dan garam gula sesedap rasa..masak dengan api sederhana.

Biasanya aku biar dia atas kuali bagi lama sikit biar dia masak slow-slow.

Yang ni aku guna udang fresh

Yang ni aku guna udang kering

Kata suami aku..lagi banyak cili lagi sedap. Guna cili api/kampung/burung yang kecik-kecik tu lagi sedap. Lagi pedas..lagi sedap dia kata. Kalau letak kulit lembu lagi umph katanya...manalah aku nak cari kulit lembu kat Kedah ni..huhu.

Aku memang tak pernah makan Sambal tahun ni,so tak tahu rasa sebenar macam mana. Tapi bila suami rasa yang aku masak ni dan dia kata ok..so..ok lah kot..aku bukan orang jawa..mana aku tahu 🤣🤣🤣

Ok..itu ajelah untuk kali ni..

Adeuss!!!

Selasa, 23 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN JAWA : AYAM UNGKEP

Assalamualaikum.

Harini kita cuba menu wong jowo lagi. Untuk resepi kali ni,sukatannya aku main agak-agak je..so terpulang pada citarasa masing-masing.

Bahan-bahan;
1 ekor ayam
2 camca besar serbuk ketumbar
2 camca besar jintan putih-tumbuk lumat
2 camca besar jintan manis-tumbuk lumat
1 sudu teh serbuk kunyit(kalau ada kunyit hidup lagi sedap)
***semua ni perap dengan ayam

3 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 inci halia
10-15tangkai cili padi
***semua bahan ni blend halus

3batang serai-dititik
2 keping asam keping/gelugur
Setengah keping gula melaka(ganti gula pasir pun ok je)
Garam dan perasa sesedap selera.

Cara-cara;
1. Tumis semua bahan yang diblend sampai pecah minyak.
2. Masukkan ayam yang dah di perap.(Kalau tak nak perap pun tak apa,masuk je semua)
3. Akhir sekali masukkan serai,asam keping,gula melaka dan garam.Kalau nak letak santan pun ok..tapi bila dah letak santan dah kira resepi derhaka..ok.


Ok..selamat mencuba.

Adeuss!!

Isnin, 22 Oktober 2018

RESEPI MASAKAN JAWA : PUNTEN

Assalamualaikum..

Tambat selera suami..itulah misi aku. Aku tak berpeluang kenal dengan mentua..tak sempat pun berjumpa.. Aku tak tahu apa makanan kegemaran suami yang mak mentua aku sediakan masa dia kecil dulu. Atas inisiatif sendiri, aku belajar. Bergurukan video youtube dan google..alhamdulillah..aku dah mahir sediakan beberapa jenis menu wong jowo.. jowo Sg.Besar kampung halaman suami.

Harini, aku nak kongsi resepi Punten. Punten ni macam nasi himpit..tapi versi bersantan. Mudah sangat bahannya.

Bahan-bahan;
1 cawan beras
3 cawan santan ( aku gunakan 1 cawan santan pekat+2 cawan air..dan aku gunakan santan sawit yang lebih sihat)
Secubit garam
2-3helai Daun pandan (simpul)
Sedikit kelapa parut (tak letak pun tak apa)
***gandakan kalau nak buat banyak

Cara-cara;
Masukkan semua bahan dan masak macam biasa guna rice cooker . Petik je periuk tu.. masaklah ia. Gunakan senduk untuk lenyek-lenyekkan nasi tadi masa masih panas. Ada yang guna botol (balut dengan plastik) untuk lenyek nasi tu, tapi aku hanya guna senduk aje. Tekan,kaup dan lenyek bagi dia hancur.


Kemudian untuk bentukkan dia, guna senduk nasi(balut dengan plastik). Ceduk nasi dan kaut dari tepi periuk bagi kena badan periuk..baru dia jadi lonjong. Kalau tau reti, masukkan semua nasi dalam loyang yang dilapik daun pisang..mampatkan .Biarkan sejuk baru potong. Boleh juga masukkan nasi dalam acuan kecil.

So far..1st time aku buat, bentukkan guna senduk, alhamdulillah terus jadi.Happy tak terkata.
Sedap makan dengan sambal bilis..atau sambal hijau.

Dari cerita suami aku..punten ni biasanya makan pagi raya..atau majlis kenduri kendara. Sekarang dah boleh makan bila-bila masa saja. 

Ok korang..selamat mencuba ye.

Adeuss!!!

Ahad, 21 Oktober 2018

SAMBAL TUMIS BETIK MUDA

Assalamualaikum.

Dah bertahun-tahun aku tak share resepi. Kali ni kita cuba resepi rare punya. Jarang orang buat..tapi ada..


Biasanya betik muda orang buat kari ayam kampung, kerabu atau somtam je. Apa kata kita cuba kelainan ..

Jom tengok resepi;

3 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Segenggam cili kering
***semua ni blend dengan sedikit minyak

Betik muda diparut
1keping asam keping/gelugur
Gula dan garam penambah perasa sesedap selera.

Cara-cara;
Mudah je..macam buat sambal tumis bilis juga..tumis bahan blend sampai pecah minyak, masukkan asam keping. Agak sambal dah masak masukkan betik muda,gula garam secukup rasa.. siap!!! 


Kepada yang suka rasa belacan..boleh je letak..tapi aku ni resdung kuat..lagipun rasa belacan boleh spoilkan manis betik tu.

Ok..selamat mencuba ye..

Adeuss!!

Sabtu, 20 Oktober 2018

GAMBAR SAMBAL BELACAN PUN NAK CILOK??

Adoi..sakit hati ni..

Tak boleh nak bagi salam dah ni..geram betul aku dengan manusia yang tak reti nak usaha sendiri.

Ni bukan kali pertama aku kena..berpuluh kali dah. Kes gambar sambal belacan aku! Entry pasal sambal belacan ni dah lama..2014 punya entry. Entry tu kat sini ➡️ sambal-belacan-cara-aku .

Ya..silap aku la tak letak watermark..tapi sape nak sangka..gambar sambal belacan pun orang nak curi! Zaman tu pulak..update blog guna pc..tak ada lagi apps untuk create watermark macam sekarang ni.

Biasanya mana aku nampak..aku sound direct.Tapi kali ni aku terpaksa buat entry biar 1 dunia tau. 

Nak berniaga ke.. nak publisiti ke..nak perhatian ke.. buatlah gambar sendiri. Apa susah? Kau blender lah sambal belacan sendiri..pastu plating dalam piring bagi cantik..angkat phone..tekan button kamera..snap! Apa yang susah??!!

Ni muka-muka yang sedap2 jari dia je nak copy paste gambar aku





Tengok nih! Sheila Rusly pun copy gambar aku! Takde etika betui!

Memang aku geram ni. Rasa nak aku tonyoh2  je mulut orang yang cilok gambar aku ni. SORRY TO SAY YE.. MEMANG AKU TAK HALAL! Kau jawablah kat sana nanti! TITIK!!!

8D AUDIO ..DIMENSI BARU MUZIK

Assalamualaikum..

Aku tertarik untuk berkongsi satu teknologi yang boleh dikatakan masih baru di Malaysia, tapi sudah lama di negara barat. Teknologi baru dalam industri muzik yang dinamakan 8D.

Teknologi 8D bermaksud menghasilkan bunyi dari pelbagai dimensi, yang memberikan rasa hidup pada bunyi.

Lagu-lagu yang kita dengar dalam earphone atau headphone adalah 3D / 2D.

Sekeliling kita mengandungi banyak dimensi, dan setiap bunyi dari setiap dimensi terasa begitu jelas dan semula jadi.

Jadi ini adalah teknologi bunyi 8D, memberikan bunyi dari 8 dimensi.

Sangat menarik. Pun begitu untuk menghayati kelainan audio ini, pendengar mesti menggunakan earphone atau jika memainkan CD perlu sound speaker subwoofer surround atau yang sama spesis dengannya..atau sekurang-kurangnya home theater.

Disini aku masukkan beberapa link dari youtube dan korang bolehla cuba dengar dan hayati kelainan 8D audio ni. Pertama kali aku cuba..terasa bola mata aku dah kekiri kanan ikut muzik yang berlegar-legar diruang otak. BEST OOO!! 



Rabu, 17 Oktober 2018

KPSL N29 DAN AKU

Assalamualaikum.

Cerita baru dalam hidup. Aku yakin dan pasti, ramai yang terlibat dengan temuduga Penolong Pegawai Tadbir N29 baru-baru ni.. dan temuduga tu masih berjalan hingga awal November depan.

Bercerita tentang temuduga ni..kali pertama aku dapat temuduga ni pada tahun 2013 .Gred N27 pada masa tu. Bukan rezeki aku walaupun dah lulus KPSL yang sangat susah gila.. dan pengalaman 12 tahun tidak dipandang oleh panel..ditambah markah SKT oleh ex EO aku di jabatan terdahulu yang aku "tak halal" sebab diberi atas dasar emosi dia yang pantang ditegur orang bawahan..ok fine! Anggap tak ada rezeki walaupun aku bersusah payah ke Putrajaya selepas 4hari balik dari Umrah (terlepas tarikh temuduga di Alor Setar sebab berada di Mekah pada waktu tu). Pun begitu doa aku dimakbulkan dan aku menerima pemangkuan Gred 22.

Untuk temuduga kali ke 2 ini..mula-mula aku sangat fedup dan tak mengharap apa-apa. Nak harap apa lah kan? Dah la susah payah jawab exam KPSL yang Ya Rabbi punya susah..tiba-tiba kali ni kena pass exam online pulak dah..Allahu.. 2bahagian pulak tu..tak cukup lagikah dengan azab 3 paper KPSL dulu tu.

Persediaan untuk exam Online tu  memang aku tak buat apa-apa. Aku buat bodoh je. Aku jawab mana yang aku tahu..yang tak tahu..aku hentam je walaupun ramai kawan-kawan aku termasuklah calon-calon lain masing-masing ada saka dan toyol sebagai talian hayat. Soalan dah macam KBAT weh..otak pun dah karat..yalah  dah 20tahun lebih meninggalkan alam persekolahan.. dan aku sampai sekarang terfikir apa rasionalnya dan kaitannya soalan tu semua dengan tugas yang bakal dipikul seorang PPT. Soalan math pun ada..dan yang pastinya tak related langsung dengan tugas PPT nih.


Tak sangka..pass pulak aku. Dan 10 Oktober lepas..aku dipanggil temuduga lagi. Kali ni pun aku tak harap apa-apa. Apa ditanya aku jawab. Betul tak betul belakang cerita. Ada rezeki aku..adalah..kalau tak ada..aku tunggu lagi 3 tahun untuk memangku 26 pulak..Dan untuk kali ini..kalau aku tak berjaya juga..maka aku anggap sekeping diploma atau degree fresh graduet yang memerlukan 3-5tahun pengajian adalah lebih bernilai dan hebat dari 16tahun pengalaman dalam perkhidmatan..dan aku amat berharap agar PPT fresh graduet yang akan datang ni..tidaklah menjadi beban dan sumpahan kepada kerani-kerani 20tahun servis dibawahnya..seperti yang terjadi dikebanyakkan tempat sekarang ni...(termasuklah ex EO aku dulu..hanat betul)

Kepada yang akan menjalani temuduga..semoga berjayalah ye. Semua rezeki dah ditentukan Allah..akhir kata..

BIARLAH AKU MENJADI "DAWAI" YANG MAMPU MENGIKAT POKOK DARIPADA TUMBANG..DARI MENJADI PEGAWAI YANG HANYA PANDAI BERKOKOK DAN BERSEMBANG! 

Adeuss!!🖊

Selasa, 16 Oktober 2018

AKU KEMBALI

Assalamualaikum AMT sekalian..

Ini adalah kemunculan pertama aku sejak posting terakhir 26 Jun 2016.

Bayangkan betapa bersawangnya laman sesawang ku ini setelah 2 tahun 3 bulan 21 hari aku tak mencoretkan apa2 di sini. Kesibukan yang teramat sejak aku meninggalkan Pulau Langkawi dan kembali berkhidmat di Alor Setar ..Sejak menjejakkan kaki ke pejabat baru..terpaksa memikul tugas baru dengan suasana dan masalah baru..hingga membuatkan aku tak punya masa untuk berblog seperti dulu.

Tak tahulah aku ..korang ingat aku ke tidak lagi..Rindu? Jangan kata rindu..ingat pun belum tentu. Insya Allah selepas ini aku akan kembali berblog..rugi juga dah bayar domain .com 10tahun tapi tak guna..entri pasal Negeri Kedah pun terhenti disitu..tapi andai ada masa terluang..aku akan sambung semula.

Apapun..terima kasih kepada semua AMT yang masih setia..follow blog aku ni..walaupun ada beberapa orang yang dah unfollow..its ok..kita ada pilihan masing2..

Cukup untuk kali ini..berjumpa lagi..doakan mood berblog aku kembali..amin.

Adeus!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...