Memaparkan catatan dengan label My Bariatric Journey. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label My Bariatric Journey. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #31 1ST FOLLOW UP

 Assalamualaikum.

Disebabkan aku discharge awal,maka Dato Gee tetapkan 2hari kemudian untuk follow up. Dan kebetulan hotel yang aku booking untuk suami pun last day pada tarikh follow up.

Follow up pukul 9,tapi 7.30 aku dah sampai, dan masukkan kad ke bakul. Ada-ada aje nak buat aku hangin dari haritu. Si kerani kat kaunter tu  panggil nama sape-sape ntah.. memang aku tak bangunlah..dah la perut rasa ngilu nak bangun kerap-kerap. Lastly aku bangun pergi tanya, nama aku bila nak panggil. Aku kata tadi dengar panggil ***RA.. nama aku bukan ***RA.. nama aku ***NA.  Boleh pulak tak mengaku salah.. "tadi saya panggil 3 kali dah"..aku jawab "yelah..bukan nama saya, takkan saya nak mengaku".  Tak mengaku salah lagi..dia kata lagi "saya tak reti nak baca tulisan tu.. ".. aku balas balik .. "kad tu bukan saya yang tulis..". Adoilah haih.. lain kali guna akal..panggil nama dan no.ic. Takkan itu pun nak ajar!

Dekat setengah jam..baru dia panggil nama aku yang betul untuk bagi nombor..tapi tak sampai 10minit, Miss C dietitian whatsapp aku, tanya aku dah sampai ke belum. Aku jawab..dah..dia suruh aku datang tetus ke bilik 25.

So,kat situ terus jumpa Dr.Zu..dapat consult serba sikit,sambung mc dan seterusnya consult dengan Miss C. Selesai dalam pukul 10, Dr.Zu bagi slip untuk ambil ubat gastrik yang aku mesti makan hari-hari.

Dengan pandangan kabur..macam orang..menapaklah pulak ke unit Farmasi.. mujur tak lama. Pukul 10.30 siap semusnya dan aku bertolak balik ke Kedah. Tadinya timbang berat.. dari 122kg sebelum operation, dah tinggal 118kg. Alhamdulillah.

Ubat gastrik untuk dimakan hari-hari

Mc dari Dr.Zu

Mc masa discharge


Cuma masih susah menelan air dan ubat..rasa macam tersangkut di dada.. 

Itulah coretan perjalanan bariatrik aku yang maha sukar..terpaksa menempuh pelbagai dugaan selama 1tahun 2bulan (29.08.2019-22.10.2020) untuk sampai ketahap selesai pembedahan.

Dan selepas ini, aku mulakan dengan azam baru..untuk cara hidup yang lebih sihat. Doakan moga aku istikhomah dalam meneruskan perjalanan bariatrik aku ini. Dan follow up seterusnya pada 05.11 2020. 

Baki kantung perut yang pernah suatu ketika dulu pernah mengisi dan terisi dengan segala mak nenek makanan.. kini hanya tinggal kenangan. 


Jumaat, 23 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #30 DISCHARGE DAN WAD 3RD CLASS

 Assalamualaikum.

Lega dapat aku lepas geram pasal seekor manusia seperti yang aku ceritakan sebelum ini. 

Masa aku sedar dari bius, tangan kanan pulak dicucuk untuk drip.. di flash segala ubat dan drip di wad biasa.. dan inilah hasilnya.

Bulat macam belon

Ini tangan aku yang normal..nampak tak beza?



Ini keadaan biasa..beza atau tidak?

Tangan aku membengkak sampai tag yang pakai ditangan terasa ketat. Aku panggil nurse dan tanya.."normal ke bengkak macamni? " barulah diorang kalut "bump..bump" katanya. Panggil doktor pasang jarum ditempat baru pulak.

Kalau aku tak panggil,silap-silap tangan aku meletup macam belon.2 hari pun tak surut sepenuhnya bengkak tu. Sampai untuk aku bangun,aku tak mampu tak tekan tangan untuk tahan badan.. korang bayangkanlah macam mana keadaan..

Doktor yang datang,cuba nak pasang ditangan kiri semula, aku kata,kalau pasang tangan kiri,aku nak bangun tak boleh sebab tangan kiri sajalah yang kuat,tangan kanan dah bengkak bulat sampai tak boleh genggam apa-apa. Dia nak pasang dikaki..dah tunduk pun cari point..tapi katanya nanti aku nak ketandas susah.. akhirnya..

Cucuk dilengan!

Berbalik kisah aku sakit dada..mujur doktor berbangsa cina yang ada perikemanusiaan ini, kerja pagi tu. Dia panggil team nurse ECG, untuk check jantung. Sebab aku mengadu dada masih sakit. Ada juga ikhtiar dia nak tolong aku. Walaupun lain bangsa, lain agama, tapi ..korang nampak tak bezanya kat mana?

Dikalangan Islam ramai yang berperangai kafir.. tapi dalam kalangan kafir masih ramai juga yang bersikap Islam.. 

Korang fahamkan??

Mujur Dato Gee datang dan discharge kan aku segera. Bagai berada dalam sauna wad ni. Boleh gila aku dibuatnya. Sebelum balik, suami tolong ambilkan ubat untuk aku.

Antibiotik untuk dihabiskan..beserta ubat tahan sakit 3 peringkat.

Ini pula, wakil Celio(pembekal stapler) datang dan bagi untuk semua pesakit.

Selesai discharge, aku pulang ke hotel dan dapatlah tidur dengan selesa,walaupun kerap terjaga kerana sakit belakang dan pedih ulu hati belum lega sepenuhnya.


Khamis, 22 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #29 ANEAST CELAKA

 Assalamualaikum..

Aku ambil masa 2hari untuk mencari mood yang hilang hanya kerana aneast celaka. Kenapa?? Biar aku ceritakan..sebab sampai hari ini aku tak boleh lupa.. geram marah sedih kecewa semua bercampur baur.

19hb tarikh operation. Aku mula puasa jam 6petang 18hb sebab malamnya aku tak ada makanan untuk dimakan. Akhir aku minum jam 6pagi. Sampailah jam 6 petang 19hb, nama aku belum dipanggil. Kepala aku dah rasa pening.. tahu dah..gastrik dah datang..angin tangkap kepala dulu.

Pukul 6.30petang baru nurse datang minta aku tukar baju. Dapat tak korang bayangkan.. aku berpuasa 24JAM!. 

Lepas selesai operation, aku dikejutkan dari bius dan pada waktu tu, dada aku bagai ditikam pisau. Dalam keadaan separa sedar, aku memanggil sesiapa saja meminta tolong. Aku agak waktu tu mungkin dah cecah jam 11 malam.

Pedih hulu hati sampai aku rasa tak boleh nak bernafas, sedangkan 4 jari aku terhiris tin tajam hampir putus pun aku tak menangis, tapi yang ini aku menangis, tapi si aneast(jantan) yang jaga aku pada waktu tu,boleh je ignore aku. Aku merayu minta tolong, haram pun tak pedulikan aku. Yang aku ingat dia kata sambil sebut nama aku "sikit je..tadi ok je..dah sedar ni macam-macam" wah..anjing betul. 

Kalau tak sakit aku tak panggil. Yang aku rasa tangan aku menggigil sambil tekan tengah dada. Dekat 15minit rasanya aku menangis merintih sakit,baru dicucuknya ubat. Dalan separa sedar, selimut tersingkap didada(ini memang aku pun tak sedar) dengan tak ada perikemanusiaan, boleh dia kata kat aku "tutup sikit dada tu".. kalau kau ada otak..tau batas aurat, tak bolehkah kau bangun dan tarikkan selimut tu? Walaupun mata kabur,aku nampak riak wajah dia macam tak puas hati dengan aku. Kalau dah rasa tak boleh nak kerja untuk orang awam,elok kau berhenti je. Aku pun penjawat awam..tapi tak ada la perangai sesial kau.

Dan masa aku di pass untuk di tolak ke wad semula..ayat ni yang keluar dari mulut dia "tadi ok je.. dah sedar, macam-macam pulak dia".  Kalau aku mampu bangun masa tu..memang aku nak balas balik..kau tak layak jadi aneast manusia..elok kau kerja dengan binatang.

Dengan tak pasal-pasal, si celaka ni tolak aku ke wad biasa yang panas ya rabbi.. dan sepanjang malam aku tak boleh tidur walapun kipas berpusing..mana lagi dengan pedih ulu hati yang amat sakit seumur hidup baru aku rasa macamni. Terpaksa aku minta tolong nurse dan doktor di wad tu untuk bagi aku apa-apa ubat dengan harapan aku boleh tidur dan sakit tu reda. Mujurlah aku guna GL untuk wad kelas 1..kalau kena bayar,aku akan tuntut ganti rugi.

Akhirnya ubat sampai. Pun begitu mata aku tak mampu untuk lelap. Panasnya memang aku tak tahan..membahang..2-3kali aku cuba gagahkan diri,bangun untuk duduk sebab dada masih sakit. 

Jam pukul 3 bila aku tanya pada nurse..aku masih taj boleh lelap dengan dada rasa masih sakit. Rasanya dalam jam 5pagi, nurse datang lap badan,tukar baju..rasa sejuk sikit dan barulah aku terlelap seketika bila aku terjaga..ya Allah..hinanya keadaan diri,dengan keadaan aurat aku terbuka. Dimana aku nak cari tudung..macam mana aku nak berjalan, semua barang aku ada di wad 14. 

Dipendekkan cerita, nurse tolong ambilkan beg tangan aku supaya aku dapat call suami, suami datang..terkejut tengok aku..yang tak pernah aku buka rambut dikhalayak. Aku menangis depan suami..suami pun nak marah..tapi aku kata kat suami..nurse sini tak salah. Yang salah sil aneast celaka tu.

Dato Gee datang melawat sekitar jam 2petang dan benarkan aku discharge sebab  kes convid makin bertambah dan minta aku rehat dihotel saja.

Akibat dari  celakanya aneast buta perut tu, cermin mata aku hilang masa suami pergi ambil barang aku di Wad 14..ntah penyangak mana yang ambil..dan bila aku balik ke hotel..aku demam kerana kesan bius dan tidak cukup tidur.

Aku hanya minta Allah pulangkan balik segala perbuatan buta perut dan tak berperikemanusiaan tu kat dia. Aku harap dia baca blog aku ni. Sorry..aku tak boleh maafkan dia. Kepala aku bertambah pening dengan pandangan kabur.. tak pasal pulak nak kena buat cermin baru. Zalim! Kau memang zalim.tak ada maaf untuk kau. Moga kesakitan dan kesusahan yang aku rasa,akan berbalik pada kau. Aaminn!!!

Aku jarang nak memaki hamun orang diblog ni..tapi kali ni memang aku tak tahan! Aku harap,korang yang akan menjalani pembedahan di sana..tak jumpalah celaka tadi. Malang betul sesiapa yang jumpa dia. 

Ahad, 18 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #28 DAFTAR WAD & MALAM PERTAMA

Assalamualaikum

Sebelum melelapkan mata,aku catatkan di sini perjalanan bariatrik aku yang mungkin dan memang berbeza dengan orang lain. 

Seawal jam 7.30 aku dah keluar dari hotel menuju ke HKL tak sampai 5minit sebab hari ini Ahad,kereta tak banyak dan jarak pun dekat.

Menapak jauh dari parkir bertingkat ke Kaunter Pendaftaran yang boleh tahan jauh. Perkara pertama di kaunter..tekan nombor walaupun tak ada orang selain aku.  Hulurkan surat admit dan terus aku minta wad kelas 1 dan aku hulurkan GL. 10minit,siap.




Selesai mendaftar..menapak pulak ke wad di bangunan A, aku ditempatkan di Wad 15, tingkat 3. Sampai di wad, ambil berat,bp dan dapat tag nama ditangan. Ditanya beberapa soalan biasa.

PKPB punya pasal, pelawat tak dibenarkan..maka lepas suami hantar ke wad..berpelukkanlah kami.. sebab 3-4hari lagi baru berjumpa.

Katil aku..untuk seminggu ini..

Seperti biasa, bila dah admit, mulalah  dicucuk sana dan sini. Alhamdulillah,nurse dan doktor semuanya ok, berbudi bahasa..walaupun sakit dicucuk..tapi hilang bila dilayan baik.

Mula cucuk untuk ambil darah dan letak jarum drip..dsn kemudian cucuk di pelipat lengan untuk ambil darah kali ke2 sebab yang mula tu katanya darah "pecah".. 

Maghrib tadi, anaest datang..tanya itu ini..pasal CPAP ada pakai ke tak..aku cakap tak adalah sebab tak ada disuruh pun sebelum ni(melainkan ada rujukan untuk pakai dari HRPB..Kalau HKL tak ada sape pun suruh pakai dan tak ada surat rujukan pun untuk pakai)

Akhirnya.. 3 kali tangan kanan dicucuk untuk ambil darah lagi.. tapi tak dapat..

Diubah ketangan kiri, 2 kali cucuk dan akhirnya dapat.. serius..cucuk yang ini memang sakit..kalau nak compare dengan cucuk drip.

Tadi, nurse datang bawak mesin ECG untuk check jantung.. bacaan cantik. Blood preasure pun cantik. Siang tadi 137, 79.. tadi 117, 68.. 

Baju untuk operation esok, puasa mula jam 2pagi..minum last pukul 6pagi

Susah hati juga sebab pelawat tak dibenarkan..walaupun waris. Mujur juga aku beli powerbank 40000mAh untuk kegunaan di sini..disamping 2 biji lagi 10000mAh dan 20000mAh.. dengan keadaan bateri hp aku yang cepat drain sekarang.

Harap-harap.. cukup takat 22hb je aku di sini..hotel pun booking sampai 22hb untuk suami..

Oklah..itu aje yang aku nak share. Selamat malam..







Sabtu, 17 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #27 KAUNSELING DIETITIAN

 Assalamualaikum.

Semalam dietitian HKL, Miss C ada whatsapp aku, nak call esok(hari ini) dalam pukul 9 katanya untuk sesi kaunseling. Masalahnya aku dalam perjalanan ke KL. So aku bagitaulah dia, aku akan inform sebaik sahaja aku dah check-in hotel. Untuk 5malam akan datang,suami aku akan bermalam di Regency Hotel KL.

Pagi tadi aku bertolak jam 7.45 pagi. Jalan lengang..steady je suami drive. Dalam pukul 1, aku dah siap check-in. So aku terus mesej Miss C ..cakap aku dah sampai. Dia jawab akan call aku pukul 3.30. So oklah. Dan dia pun call tepat 3.30. Tak ada apa sebenarnya sebab semalam dia dah send 2 broucher untuk aku baca dan faham. Kiranya harini just discuss balik lah apa yang ada di broucher tu.

Dan aku kongsikan broucher tu di sini sebagai perkongsian ilmu untuk korang yang nak cuba pembedahan ini.








Ok..itulah antara perkara-perkara yang perlu tahu dan faham. Dan sekarang, aku nak tidur, esok pagi aku akan daftar untuk masuk ke wad. Harap-harap dapatlah aku masuk wad kelas 1 seperti kelayakan aku yang sepatutnya.. kalau takat 1-2malam,aku tak kisah sangat..ini.. silap-silap 4-5malam jugak ni..kalau boleh nak jugakla keselesaan tu.

Itu aje untuk hari ini..esok insya Allah aku akan update cerita baru..

Adioss!!!















Jumaat, 16 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #26 PERMIT PERGERAKAN PKPB

 Assalamualaikum

Selesai 1 bab..timbul pulak 1 bab. Dek kerana dengan tiba-tiba KL kena PKPB buat kali ke-2, maka aku terpaksalah dapatkan permit perjalanan ke HKL. 

So, entri hari ini bolehlah jadi panduan kepada korang yang perlukan kelulusan pergerakan PKPB.

Syukurlah format permit dimuatnaik di FB PDRM, maka kerja aku menjadi mudah. Aku terus edit je ..isi detail yang diperlukan dan aku taip 1 lampiran untuk letak detail individu seperti yang diperlukan.


Permit yang siap di isi

Lampiran butir individu

Bersama permit permohonan tu,aku lampirkan sekali surat daftar masuk ke wad yang HKL bagi. Siap semua,aku terus ke balai polis berhampiran. Sop biasa,polis akan tanya itu ini.. dan siap!.

Dan esok 17hb10.. aku akan mula bergerak ke KL.. hotel untuk suami di KL  aku booking petang tadi. Risau nak booking awal-awal takut ada aral pulak. Lagipun aku yakin result swab ok,sebab tengahari tadi dietitian Dato Dr.Gee ada whatssap. Esok aku kongsikan ye..

Ok.. adioss!!!


Rabu, 14 Oktober 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #25 PRE OPERATION

 Assalamualaikum.

Catatan perjalanan bariatrik yang panjang.. 

Setelah aku terima confirmation untuk tarikh operation, aku kena ke HKL untuk ambil darah, X-Ray dan ...swab Convid19 (lahanat punya virus..). Serius cakap..aku tak risau pasal operation..pasal bius..sebab aku dah pernah 3kali lalui situasi full bius. Yang paling aku risau,swab Convid.. bukan apa..sekarang ni,orang yang tak ada gejala pun silap-silap boleh positif..Nauzubillah himin zalik!

Aku mulakan perjalanan dari Kedah jam 7.45pagi, 12hb10. Tiba di KL sekitar jam 1.30..cari makan dan cari hotel. Malamnya Malaysia dikejutkan dengan PKPB untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya..mujurlah kuatkuasa 14hb..ujian betul..jangan operation kena postpone sudahlaaaa..

13hb..jam 8pagi aku dah bergerak ke HKL, Kompleks Rawatan Harian. Macam biasalah..sebelum masuk bangunan,kena ambik suhu dan ditanda pelekat tarikh dibahu. Aku terus ke tingkat 1 dan beratur. Dalam setengah jam juga.. nurse yang bertugas panggil aku dan serah 2 surat.. untuk X-Ray dan untuk ambil darah.

Hari ini memang tak jumpa doktor..makna memang tak akan dapat apa-apa mc. So awal-awal aku dah apply cuti 3hari supaya tak menyusahkan orang di ofis. Dan disebabkan pengumuman PKPB ..aku tanya macam mana status operation..still proceed atau postpone..nurse kata..proceed..jangan risau.. yelah..macam mana aku tak risau. Nak masuk KL tak boleh..melainkan ada surat. Ha...barulah nurse bagi surat admit kat aku..katanya surat ni boleh jadi bukti kalau kena tahan roadblock nanti.

Inilah suratnya. 

Lepas di baginya surat ni..katanya petang ni datang semula untuk swab.. bermakna 1 harilah aku di HKL hari ni.

Aku turun kebawah untuk buat X-Ray.  Orang tak ramai sangat dan tak lama pun tunggu. 

Ada staf tunggu di pintu masuk..sangat membantu dan baik budibahasanya.

Aku dipanggil ke bilik 6 untuk X-Ray. Radiographer yang bertugas pun bagus. Lembut je bercakap. Senang hati rasa. Dalam 10minit siaplah..lambat sebab nak kena buka pakai baju. Filem X-Ray pulak diserahkan terus kepada patient..ingatkan diorang yang akan serah ke Klinik Pembedahan..mujur aku bawak beg uncang yang aku isi fail dan dokumen perubatan..so,aku masukkanlah dan usunglah ke Unit Patology untuk ambil darah.

Borang ni serah dikaunter untuk X-Ray

Borang untuk diserah dikaunter Unit Patology(Darah)

Berbaris panjang rupanya..Hampir sejam jugak,barulah selesai ambik darah..1tiub aje. Yang ambik darah pun pandai. Sekali cucuk je..maklumla..tangan dan lengan aku ni,susah nak jumpa urat. Penah 2kali cucuk baru jumpa..sakit mau tau laaa.. so dalam pukul 10.30 siaplah .. dan aku terpaksa menunggu hingga petang untuk part yang paling aku takut..swab convid!

Pukul 1.30petang aku kembali ke Klinik Pembedahan Am.. beratur dan tunjuk kad klinik..bagitau aje petang ni kena swab. So..masuk tunggu di dalam. Pukul 4.15 baru nama dipanggil..

Cerita pasal swab..aku sedia maklum ..saluran lubang hidung aku sempit. Kalau ikutkan masa aku pergi Hospital Ipoh,diorang minta aku guna CPAP...jumpa doktor ENT di Alor Setar. Tapi di HKL tak perlu. Itu tak apa..masalah sekarang..sakkkkitttt dowhh.. bila bilah swap dimasukkan ke lubang hidung kanan.. keriuk keremot lah muka aku.

Yang tukang ambik sample pun tak habis-habis minta maaf kat aku..dia tau aku sakit.. Dia minta maaflah..kalau aku sakit sebab dia kata dia nampak saluran hidung aku sangat sempit..dan dia ada tanya sama ada aku tidur berdengkur dan ada pernah jumpa doktor ENT tak.. aku mengakulah..dan cerita kat dia, dulu masa aku buat operation buang tonsil, doktor pun dah luaskan saluran tu..tapi tak taulah kalau dah sempit balik. Lepas ni..beringatlaaa..kalau kena swab lagi..minta jolok lubang hidung kiri pulak. Sakit macam kena tikam sampai ke otak wei...tak main-main ok..sampai berair-air mata aku.

Nervous dengan swab..langsung tak sempat snap apa-apa gambar. Sebelum balik aku serahkan film X-Ray kat nurse yang jaga nama untuk swab.

Siap semua aku bertolak balik dari KL lebih kurang pukul 5..dalam perjalanan,suami aku kata,kena pergi balai mohon kelulusan untuk masuk KL nanti. Aku pun oklah..betul lah tu..dalam pukul 8malam macamtu..aku terbaca di FB..PDRM dah keluarkan format untuk permit perjalanan masuk ke kawasan PKPB..oklah..Khamis aku buat..sebab hari ini(Rabu) aku ambik cuti nak rehat. Semalam punya penangan swab..sakit kepala sepanjang jalan.

Doakanlah result swab aku negatif.. risau betul aku..dan doakan juga semoga Allah permudahkan perjalanan panjang aku ini.. 

Terima kasih kerana sudi membaca catatan panjang perkongsian pengalaman yang sangat meletihkan.

Adiosss!



Rabu, 30 September 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #24 PERMOHONAN KEMUDAHAN PERBELANJAAN PERUBATAN

Assalamualaikum.

Lama aku tak bersiaran. Tak ada content sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, buat yang tertunggu-tunggu catatan perjalanan bariatrik aku ni..hari ini aku nak kongsikan sesuatu..semoga bermanafaat untuk korang lah ye.

Last topik aku kongsikan dulu adalah mengenai cara aku minta quotation alat stapler..pada yang terlepas, boleh baca KAT SINI ➡️QUOTATION.

Lepas aku dapat quotation tu, aku sendiri buat surat iringan Permohonan Kemudahan Perbelanjaan Perubatan untuk dihantar ke HQ di Putrajaya. Dalam surat itu aku kepilkan;
  1. Borang Perubatan 1/09 -yang telah lengkap diisi dan diperakui doktor
  2. Surat pengesahan menjalani pembedahan - yang mempunyai senarai peralatan pembedahan yang diperlukan
  3. Surat sokongan menjalani pembedahan oleh doktor pakar.
Contoh borang dan cara isi..korang boleh TENGOK SINI ➡️ BORANG KEMUDAHAN PERUBATAN.

Untuk cepatkan proses..aku gunakan poslaju. Bagi korang yang tak biasa dengan urusan surat menyurat,boleh serahkan tugas surat menyurat ni dengan staf admin korang ye. Aku buat sendiri je sebab nak cepat.

Surat tu dihantar pada 16 Julai 2020. Hari-hari aku berdoa supaya urusan kelulusan tu cepat. Selang 1 bulan,aku hubungi HQ bertanyakan tentang surat dan borang yang aku hantar. Katanya dah di hantar ke KKM - Bahagian Perkembangan Perubatan. 

7 Ogos, aku cuba call bahagian tu untuk bertanyakan status, beri nama dan nombor kad pengenalan, katanya masih dalam proses kelulusan.. cuak juga aku.

26 Ogos, aku hubungi HKL ..yerlah..dulu masa last TCA dijangka operation aku bulan 9.. tapi tak ada khabar. Jawapan yang aku terima,tunggu call. Bila aku tanyakan, aku ni rangking ke berapa,katanya yang ke4.

4 September, aku cuba hubungi lagi sekali bahagian tu untuk bertanyakan status permohonan.. (korang yang cuba call..boleh call nombor ini ye 03-8883 1012) Alhamdulillah..katanya dah lulus dan dah dihantar ke HQ aku. 

So..aku pun tunggulah surat kelulusan dari HQ pula. 

25 September.. 3.30petang  aku mencuba nasib dengan menghubungi HKL..mana tahu,rezeki aku nak dapatkan status tarikh operation aku..malangnya yang menjawab panggilan tak dapat membantu..aku kecewa..sangat kecewa..

4.30petang..selang sejam ..aku dapat call dari HKL yang menyatakan tarikh operation aku adalah minggu ke-3 bulan 10. Convid punya hal, sebulan 1 pesakit aje boleh operate. Aku tanyakan tarikh, katanya 19 Oktober..tapi kena datang awal untuk ambik darah,buat xray dan saringan Convid. Tarikhnya dia akan call kemudian.. Alhamdulillah..lega dan berbunga-bunga rasa dihati. Penantian 1tahun 2 bulan akhirnya menemui jawapan.

28 September.. aku hubungi HQ untuk bertanyakan mengenai surat kelulusan permohonan aku. Katanya dah dihantar ke jabatan aku sudah 1 minggu..yelah..Alor Setar kena PKPB 2 minggu bermula 11.09.2020 hingga 25.09.2020..memanglah surat tak sampai ofis..tapi aku cuba nasib mencari surat di Unit Admin..Alhamdulillah..ada!. Dengan pantas aku ambil surat,buat salinan dan terus mohon peruntukan dengan HQ. Bagi korang yang bukan staf kewangan,terpaksalah tunggu Unit Kewangan korang mohon peruntukan dengan HQ masing-masing. Untungnya aku.. memang tugas aku memohon peruntukan bagi jabatan aku dengan HQ. 

Surat sokongan dari HQ

Surat Kelulusan dari KKM

Surat sokongan HQ datang bersekali dengan Surat Kelulusan KKM dan Borang 1/09 yang ditandatangan oleh Ketua Pengarah HQ. 

Alhamdulillah..dan sekarang, aku menunggu panggilan dari HKL untuk tarikh buat saringan dan persediaan lain.

Kelegaan terasa..dan aku dah bersedia 100%..cuma risau bab saringan Convid..takut pulak aku.  Sedaya upaya aku menjaga kesihatan dalam waktu-waktu macam ni. Apapun,mohon doakan aku ye.. dan aku akan sentiasa berkongsi info untuk korang yang memerlukan. 

Nota kaki : Untuk korang yang menguruskan permohonan peruntukan perbelanjaan kemudahan perubatan, kod akaun atau OS yang diperlukan/digunakan adalah 15000 ya..bukan 27000. 


Sabtu, 13 Jun 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #23 QUOTATION STAPLER

Assalamualaikum

Semalam baru selesai part surat dan dokumen diperingkat hospital. Dan selepas tu aku terus contact syarikat yang dicadangkan oleh pihak hospital, Celio Medical.

Mulanya aku call nombor 011-3211 2623, tapi tak berjawab. Aku try pulak whatsapp, bluetick aje tak respon jugak. Terasa nak google. So jumpalah dengan website syarikat. 

Ada ruangan email kat situ dan aku pun cubalah email secara ringkas. Lepas email, aku cuba call 1 lagi nombor yang ada di website tu. Dan panggilan berjawab. Dia minta aku sendkan whatsapp gambar surat dari doktor dan salinan kad pengenalan ke nombor 011 tadi.

Maka aku pun sendlah. Dan tak lama kemudian, aku dapat call dari no.011 tadi. Dalam setengah jam kemudian, aku check email, alhamdulillah..syarikat dah email quotation.


Inilah quotation yang aku terima untuk dihantar ke HQ. HQ akan proses untuk tindakan kelulusan KKM. Dari pengalaman kawan-kawan yang pernah berurusan dengan agensi ni bagi isu pembelian alat perubatan ni..dukacita 90% berita yang aku terima, biasanya kelulusan sangat lambat makan masa berbulan-bulan. 

Apapun, aku dah bersedia. Kalau sehingga bulan 8, masih diam membisu, aku tetap proceed dengan bayar sendiri terus kepada syarikat pembekal.

Tak rela rasanya membiarkan pihak lain menghancurkan hajat aku dengan melambat-lambatkan kelulusan tu. Kalau ikutkan pekeliling terkini, selepas dapat kelulusan, pesanan tempatan (PO/LO) boleh dikeluarkan terus..TAPI!!! mesti kena ada peruntukan dulu barulah boleh keluarkan PO/LO.  Walaupun pekeliling terbaru menyatakan PO/LO boleh dikeluarkan sekurang-kurangnya 1 minggu selepas bekalan diterima, tapi tindakan memohon peruntukan perlu disegerakan selepas dapat surat kelulusan tu.. Allahu.. 

Berat rasa hati..sebab aku tahu ..masa menunggu kelulusan tu sangat mengguris hati. Memohon peruntukan melalui jabatan mungkin agak mudah bagi aku sebab dijabatan aku, akulah yang menguruskan semua permohonan peruntukan kepada HQ..tapi bayangkanlah..kalau itu bukan tugas aku..

Semoga Allah permudahkan segala urusan aku..aaminn..

Jumaat, 12 Jun 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #22 TCA KE-3 HKL

Assalamualaikum

Semua kerana Covid19 ..bala yang betul-betul bala..habis semua program ..rutin hidup alam berubah termasuklah perjalanan bariatrik aku yang tergendala.

Sepatutnya TCA ke-3 di HKL pada 26 Mac, untuk bincang tarikh operation. Tapi terpaksa ditunda hingga 11.06.2020.. hampir 3bulan! Sakitnya hati..

TCA kali ni, pagi pukul 9. Masalah sesi pagi bagi yang duduk jauh macam aku. Kalau petang seperti biasa, aku boleh bertolak sebelum subuh hari yang sama. Tapi disebabkan pagi,maka aku bertolak awal 1 hari.

Mujur juga perintah PKPP dikuatkuasakan tamat pada 10.06.2020, so tak perlulah aku beratur di balai polis untuk buat permohonan rentas negeri. Jauh disudut hati,teringin jugak nak rasa lalu hiway tanpa kenderaan lain.

10.06.2020, aku masuk ke pejabat dulu selesaikan kerja dan balik kerumah. Terus gerak ke KL pagi tu juga dan tiba di KL jam 3.30petang. Aku booking hotel dekat dengan HKL. Kira sekali pakej honeymoon lah setelah 3bulan terkurung.

Esoknya 11.06.2020, jam 8.00 aku dah sampai ke HKL, sebelum masuk dah kena tembak suhu dulu. Lepas tu naik ke Klinik Pembedahan tingkat 2, suami tak boleh masuk,dia pun tunggu diluar. Dan sekali lagi,suhu badan diambil, ditanya beberapa soalan SOP saringan.


Nak tunggu dapat nombor pun lebih sejam aku tunggu. 

TCA pukul 9.. aku tercari-cari kelibat Dato Dr Gee.. tak nampak bayang..akhirnya jam 11 pagi baru nampak Dr.Zu masuk kelam kabut.. dan dapatlah jumpa Dr.Zu.

Disebabkan semua test aku dah pass, tak ada masalah untuk proceed operation, cuma tarikh belum dapat. Yang terkini, kalau nak buat pembiayaan melalui JPA, pesakit kena mohon terlebih dahulu, kalau dulu boleh je bayar sendiri dan claim kemudian. Aku tak kisah pun nak bayar sendiri, tapi kata Dr.Zu, rugi kalau aku tak apply dengan JPA dan sekarang pulak, paling cepat bulan 9 baru boleh operate sebab bilik ICU diberi keutamaan kepada pesakit cancer sebab peralatan bantuan pernafasan semuanya digunakan untuk pesakit covid.

Agak frust aku kat situ. Kata Dr.Zu lagi, dia yakin aku ada masa untuk selesaikan urusan dengan JPA. Oklah. Dan dari awal aku dah ready dengan Borang Perubatan 1/09. Bila Dr.Zu minta,terus aku boleh bagi. So,kalau korang nak buat operation apa-apa dengan hospital dan korang penjawat awam, sentiasalah bersedia dengan borang ni.



Helaian ke-2 borang diisi oleh doktor.

Dr.Zu dah explain, apa step selepas ini. Aku kena dapatkan quotation dari syarikat pembekal alat untuk pembedahan.  Aku sendiri kena contact syarikat. Dah dapat quotation,barulah attached bersama Borang Perubatan 1/09, surat sokongan doktor pakar dan dihantar ke JPA.

Sebenarnya step ni memang aku "buta" sebab tak pernah buat dan terlibat dengan hal-hal macam ni. Kaji punya kaji..barulah aku dapat jawapan. Sebenarnya permohonan bagi pegawai yang masih berkhidmat,kena hantar ke KKM..bukan JPA..hanya bagi kes pegawai pencen sahaja baru hantar ke JPA.. ooohh..begitu ceritanya. So apa yang Dr.Zu bagitau aku tu..tak tepatlah.

Ok..cerita sikit pengalaman hari ni.. mujur aku tanya nurse,macam mana aku nak cari quotation? Sebab lepas jumpa doc, aku diminta tunggu diluar dan nurse keluar dan serahkan MC aje kat aku..syukurlah terlintas dihati nak tanya, barulah nurse tanya balik kat doc.. apa lagi dokumen yang nak kena bagi kat aku.

So,ringkasnya .. prosedur atau dokumen yang diperlukan oleh penjawat awam sebelum buat surat melalui jabatan bagi PERMOHONAN KEMUDAHAN PERBELANJAAN PERUBATAN (PK 7.17) adalah;
  1. Borang Perubatan 1/09 -yang telah lengkap diisi dan diperakui doktor
  2. Surat pengesahan menjalani pembedahan - yang mempunyai senarai peralatan pembedahan yang diperlukan
  3. Surat sokongan menjalani pembedahan oleh doktor pakar.
Surat Pengesahan Menjalani Pembedahan

Surat Sokongan Menjalani Pembedahan

So, ada 1 borang dan 2 surat (jumlahnya 3 dokumen) yang diperlukan dari pihak hospital sebelum menghantar permohonan ke HQ dan seterusnya ke KKM. 

Selesai semua dokumen ni, aku pun bertolak balik dengan macam-macam perkara yang difikirkan. Keputusan akhir, aku tak akan ke HRPB lagi sebab belum tentu lagi bila tarikhnya untuk operation, masih ada 4 test tambahan yang kena buat(chest X-Ray, sleep study kali ke2, liver function dan full blood count), tarikh TCA berikutnya 02.07.2020.. lambat lagi tu.. mmmm..

Dan aku tak punya masa terlalu lama untuk  terus menunggu dan menunggu lagi..maafkan aku HRPB.. 



Isnin, 24 Februari 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #21 TEST LAGI

Assalamualaikum

Semalam petang dalam pukul 2 aku ke HSB untuk hantar surat rujukan untuk sambung CPAP dan untuk buat test lagi.

Sampai di HSB, aku ke Klinik Sub Pakar di tingkat 1 dan tunjukkan borang yang HRPB bagi. Ok, untuk darah boleh je buat kat sana, tarikhnya 31.03.2020 sebab katanya kejab aje result keluar. 1hb4 boleh datang ambil result.

Kemudian aku tanya untuk XRAY, katanya yang tu aku kena terus ke Jabatan Pengimejan Dan Diagnostik. Oklah.. aku selesaikan di Klinik OSA untuk serahkan surat dari HRPB. Nurse yang incharge tu namanya Syirin..dia pulak cuti.. so nurse sorang lagi kata akan call aku nanti.

Selesai di Klinik OSA, aku turun ke tempat Xray. Bila aku tunjukan borang tu, katanya kalau untuk HKL atau Penang, diorang boleh buat sebab diorang pakai sistem, imej save atas CD.. HRPB masih lagi manual, guna film. Makanya diorang cadangkan aku ke HAS..hospital lama. Sebab kat sana masih guna film.

Aku pun call lah kawan aku..nak tanya. Esok dia katanya dia akan check..kalau boleh..aku akan ke HAS untuk buat Chest XRAY tu. 

Ikutkan..Matron N,  HRPB kata boleh je kalau nak buat kat HRPB, tapi aku kena datang awal lah.. aku bab awal tu lah masalah..4jam juga dari rumah nak kesana. Baik je aku ready siap-siap kat sini. 02hb4 nanti..dah mudah kerja aku.

Sebenarnya..semalamkan.. aku try dm IG Dato Gee ..aku ceritakan semualah kes aku ni..aku minta tolong dia..bagusnya dia..dia reply dan kata, oklah tarikh akan dibincangkan 26hb3 nanti. 


Nekad! Mana yang offer awal..situlah yang aku pergi. Sebab HRPB, belum selesai part Anaest, sedangkan di HKL, dah selesai pun. Dan kalau HKL pun nak juga blood test yang 2 tu( FBC dan LFT)  dan Chest XRAY, aku sebat ajelah yang aku nak buat nanti kat HSB tu nanti. Haaa..settle masalah.

Aku kesuntukan masa..pilihan apa lagi yang aku ada? Terpa saja mana yang cepat. Ok itu sajalah cerita 2 hari ni. 

Ahad, 23 Februari 2020

MY BARIATRIC JOURNEY : #20 TCA KE-3 IPOH

Assalamualaikum.

20.02.2020.. cantik tarikhnya tapi tak secantik perjalanan hari itu sampai aku tak ada mood nak menulis. Ini kisah TCA ke-3 di Ipoh.

Sehari sebelumnya aku ke HSB untuk pulangkan mesin CPAP. 


Bertolak dari rumah jam 7pagi. 5kali tawaf kawasan hospital untuk cari parkir.. susah Ya Robbi. Akhirnya  pukul 11 baru dapat..mujur ada kosong kat kawasan masjid.

Kali ni, aku terus ke tingkat 2 untuk pendaftaran.. taknak dah tunggu pukul 2 baru nak daftar. Elok je pukul 2 aku terus masuk klinik dengan kad yang sudah siap daftar. 

Aku dah plan..kalau harini masih belum jumpa doktor pakar..aku memang nak undur diri. Tak sanggup dah rasa. Ulang alik jumpa doktor biasa..jumpa dietitian.. psikiatri. bila nak bincang pasal operatenya sedangkan masa dan usia aku berjalan. Masuk bulan 2 ni, dah cukup tempoh 6bulan...terbuang sia-sia.

Aku dah agak..kali ni mesti kena jumpa psikiatri lagi. Doktor psikiatri tu pun dah cam aku..yelah..last datang bulan 12 haritu pun aku jumpa dia sebelum balik. Soalan yang sama juga ditanya.

Aku redah kali ni. Bila ditanya..apa perasaan harini.. aku luahkan segala-galanya..aku ambik kesempatan ni nak kata apa yang aku nak kata. Result 4 test aku cantik. Endokrin pass. Blood test untuk tiroid pun ok. Apa lagi? Sampai bila aku nak dapat operate? Umur aku dah nak masuk 40. Sedangkan untuk proceed IVF kalau lebih umur..risiko tinggi dan peluang rendah..sampai jatuh airmata aku..perasaan geram..nak marah..sakit hati..kecewa..bercampur semua. Doktor terus bangun tarik tisu bagi kat aku..

Aku kata,aku stress. Stress sebab menunggu benda yang tak pasti. Kalau aku tak layak untuk di operate, bagitau saja.. aku boleh berhenti datang sini. 6bulan masa terbuang. Jumpa pakar pun belum. Kalau ikutkan hari ni..untuk jumpa psikiatri sahaja.. WHAT FOR??? Kalau aku tak bersedia..buat apa aku ikhtiar datang kesini? 

Terkejut suami aku tengok aku menangis harini. Mujurlah Dr.Psikiatri tu baik..dia terus bangun pergi bincang dengan Dr.Pakar... Alhamdulillah.. dapat jugak aku ber4mata dengan pakar Mr.M. Dia pun ulang benda yang sama sepeeti yang dah diterangkan kat aku masa 1st time appointment dulu. Mula-mula  dia putuskan nak buat sleeve aje.. tapi disebabkan aku ada Hiatus Hernia, dia cadangkan untuk buat bypass. 

Ada aku tanya pasal step untuk mohon dengan JPA untuk beli stapler..dia kata, bayar dulu dan kemudian baru apply dengan JPA sebab tak pasti kos sebenar. Selesai operation baru boleh tahu.  Oklah dah dia cakap macam tu. Bila ditanya tarikh.. katanya bulan 6. Aku minta sebelum puasa.. minta tolong..katanya bulan puasa dia tak rekomen untuk buat sebab waktu makan berubah.

Aku perasan ada 2-3 nurse dok tengok-tengok aku..yelah.. patient menangis kot. Serius aku stress tahap gilababun kot. Tak ada kata putus. So sebelum balik harini, diberi surat rujukan je Klinik OSA di HSB untuk sambung guna CPAP. Dan 2 borang untuk test darah lagi, dan XRAY dada. 2benda ni boleh buat di Ipoh atau di HSB. 

Surat rujukan ke HSB untuk sambung CPAP

Borang untuk buat XRAY

Borang untuk test darah 
Coagulation Profile : Full Blood Count(FBC)

Dan..
Liver Function Test(LFT), Renal Profile(RP)

TCA seterusnya.. 02.04.2020

Kadang-kadang rasa macam nak leburkan aje saving yang ada untuk buat di private..tapi rugilah 18tahun servis aku dengan kerajaan kalau aku tak guna kemudahan yang ada. Itu saja cerita untuk ditulis harini.

Perjalanan yang sangat panjang dan menyiksakan!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...