Memaparkan catatan dengan label Selera Kampung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selera Kampung. Papar semua catatan

Ahad, 25 April 2021

SIPUT RETAK SERIBU MASAK LEMAK CILI PADI

 Assalamualaikum.

Sunyi pulak blog sementara nak update perjalanan bariatrik aku. Sempena Ramadhan yang mulia ni, aku nak.berkongsi resepi menu harian aku dengan semua.

Menu yang bakal aku kongsikan di sini, adalah untuk santapan suami aku aje lah.. aku masih lagi istikhomah tanpa nasi hanya makan lauk dan sayuran.

Untuk hari ini aku nak kongsikan menu ringkas dan cara aku memasak paling mudah.

Siput Retak Seribu Masak Lemak Cili Padi


 
Bahan-bahan;
1kg siput retak seribu
15 biji cili padi**
3 ulas bawang putih**
2 ulas bawang merah**
1inci kunyit hidup**/atau 1 camca teh serbuk kunyit
** ditumbuk 
1kotak santan 250ml
2helai daun kunyit
2keping asam keping
1batang serai dititik

Cara-cara;
Panaskan 500ml air dalam kuali, masukkan serai dan bahan-bahan yang ditumbuk. Biarkan didih, masukkan asam keping. Masukkan siput dan santan. Perasakan dan masukkan daun kunyit yang dimayang halus. Siap dihidang

Cara aku masak tak sama dengan orang lain. Aku didihkan air sebab siput ni akan hilang manis dan kecut kalau dimasak terlalu lama. Korang boleh cuba cara aku ni. Senang dan cepat. 

Selamat berbuka puasa.


Selasa, 9 Mac 2021

AYAM MASAK JINTAN

 Assalamualaikum.

Mood nak menulis dah datang. So hari ni nak kongsikan dengan semua,resepi yang aku campak-campak..jadi! 

Punca terjadinya resepi ni sebab stok jintan manis aku dah dekat nak expired. Apalagi..mereka-reka lah aku. Mujur la boleh tahan sedap jugak.

Ayam Masak Jintan.

Bahan-bahan;
3 camca makan jintan manis
2 sudu teh jintan putih
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
10 biji cili padi
**semua bahan ni di kisar ye
1 sudu makan rempah kurma
1/2 ekor ayam
3-4 helai daun limau purut
1 kiub ayam
1 keping asam keping
Garam dan gula

Cara-cara;
1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan kisar dan remoah kurma sampai pecah minyak dan masukkan ayam. Gaul rata, gunakan api sederhana dan tutup kuali dalam 5 minit.
2. Masukkan kiub ayam,asam keping dan sedikit garam, kacau rata dan tutup kuali 5 minit lagi.
3. Masukkan 1 sudu kecil gula dan masak hingga ayam empuk. 
4. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan matikan api.. siap dihidangkan.

Serius sedap. Harap korang boleh cuba nanti.  Rasa menu ni, ada sedikit pedas, manis, masam dan bau aroma jintan yang sangat wangi. 

Selamat mencuba!


Ahad, 7 Mac 2021

KARI AYAM KURMA

 Assalamualaikum.

Lama tak berkongsi resepi. Untuk kali ni, resepi yang sangat mudah dan senang. Tak pening kepala nak fikir beli bahan. Insya Allah, sedap dimakan bersama nasi atau cicahan roti dan lempeng.

Kari Ayam Kurma.. bukan sebab letak buah kurma ye. .tapi gabungan rempahan kari dan kurma tanpa santan.


Bahan-bahan;
Setengah ekor ayam
1 pek kecil rempah kari daging
1/2 pek kecil rempah kurma
1 sudu teh serbuk kunyit
1 labu bawang besar-mayang halus
1 labu bawang besar-hiris kasar
5 ulas bawang putih-mayang
5biji cili padi
Buah pelaga,kulit kayu manis dan bunga lawang
2 sudu makan kicap manis
Garam dan perasa

Cara-cara;
1. Panaskan minyak,tumis buah pelaga,kulit kayu manis,bunga lawang,bawang besar dan bawang putih yang dimayang halus hingga layu dan naik bau.
2. Masukkan ayam dan serbuk kunyit. Gaul seketika, masukkan rempah kari rempah kurma. Gaul rata, masak dengan api sederhana. Tutup kuali 5-7minit.
3.  Masukkan sedikit air jika rempah terlalu kering dan masukkan kicap manis.
4. Masukkan garam dan perasa jika suka, dan cili padi. Masak hingga ayam empuk.
5. Akhir sekali,matikan api dan masukkan bawang besar yang dimayang kasar.. siap!

Mudah saja resepi ini. Kalau tak ada kicap manis, boleh guna kicap biasa tapi mesti tambah sedikit gula. Dengan kuah cap-cap kering macamni, boleh bertambah makan nasi..tapi..aku tengah diet, hanya meratah ayam saja.. lainnya..suami aku yang habiskan.

Selamat mencuba ye. 

Jumaat, 5 Februari 2021

AIR ASAM KERANG REBUS

 Assalamualaikum

Sekadar memenuhkan koleksi resepi dan berkongsi dengan yang berminat.

Kadang-kadang aku sampai tak tahu nak makan apa, nak masak apa. Rebus kukus bakar..tanpa perasa membuatkan rasa muak yang sangat tak best. Hari ini aku nak kongsikan resepi picit-picit ..tak ada yang lain pun tak apa..ini pun dah cukup...Air Asam Kerang Rebus.

Senang sangat nak membuatnya.

Bahan-bahan;
1kg kerang -rebus dan ambik isi
2 cawan air rebusan kerang
10 biji cili padi (kalau suka pedas, sila lebihkan)
1 labu bawang besar -mayanh nipis
2 biji limau nipis
Belacan bakar besar ibu jari
Asam jawa (saiz 2 ibu jari)
1 biji tomato
Daun sup atau daun ketumbar (mana-mana pun boleh)
Garam, gula dan perasa

Cara-cara;
Hancurkan asam jawa dengan air rebusan kerang, buang biji asam jawa. Masukkan belacan, cili padi, bawang besar dan picit ramas semua bahan. Masukkan kerang, daun sup/ketumbar dan perasakan. Siap! 

Lauk simple ni, kalau kena dengan nasi panas, jangan katakan mentua, raja lalu pun aku tak heran dah. Cukuplah kalau ditemani kembung goreng.

Tapi sekarang ni, kerang mahal betul. Sekilo pun kadang-kadang RM 12-RM14..melampau sangat harga tu. Berat kulit aje..saiz kerang pulak, tak macam dulu-dulu,,besar ibu jari kaki..sekarnag ni aduhai..mak aku cakap, besar bulu mata..punyalah renyah nak mengopek.. tapi bab nak makan ...laju je.

Ok..itu ajelah nak kongsikan harini. Jumpa lagi.

Adios!!!

Ahad, 24 Mei 2020

RENDANG KERANG HIJAU

Assalamualaikum

Selamat Hari Raya semua. Raya paling rare dalam hidup, tiada rumah terbuka, tak ada budak-budak kutip duit raya, tak terima tetamu dan sunyi.

Oklah..harini aku nak kongsikan resepi Rendang Kerang Hijau. 

Bahan-bahan;

3 batang serai
1inci lengkuas
2inci halia
1inci kunyit
1mangkuk cili padi 
1 labu bawang besar
5-6 ulas bawang putih
** kisar semua

5kg kerang -rebus dan ambil isi
1 keping kulit kayu manis
3-4 kuntum bunga lawang
1 kotak santan/ 1cawan santan pekat
3-4 helai daun limau purut
2-3 helai daun kunyit -hiris nipis
2 keping asam keping
2 sudu besar kerisik
1 sudu gula 
garam secukup rasa

Cara-cara
1. Panaskan setengah cawan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bahan kisar sampai baik bau. Jangan tambah air ye..biar kuah kering sikit.
2. Masukkan kerang, asam keping dan santan. Kacau rata dan masukkan kerisik.
3. Perasakan garam dan 1 sudu gula, garam dan serbuk perasa jika suka. 
4. Setelah masak, masukkan daun limau purut dan daun kunyit, kacau sebentar dan sedia dihidang.

Maaflah..gambar hidangan tak sempat ambil, rendang dah tinggal suku dalam kuali..mujur gambar dalam kuali sempat snap..laku pulak rendang kerang ni.

Pada yang tak suka pedas, boleg guna cili kering kisar..tapi bukan namanya rendang hijau lagilah..dah jadi rendang biasa..rasa pun ada lain sikit.

Ok..selamat memasak..

Selasa, 25 Jun 2019

AYAM MASAK KICAP 2 in 1

Assalamualaikum

Lama tak kongsi resepi. Teringin nak makan masak kicap ..tapi dalam masa yang sama nak makan ayam masak sambal. Sudahnya aku gabung resepi. Maka jadilah Ayam Masak Kicap Pedas Berempah.



Ok ini resepinya;

Bahan-bahan;
2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 batang serai
1 inci lengkuas
1 inci halia
Segenggam cili kering
**kisar

8 ketul ayam(ikut sukalah kalau nak lebih)
1 btg kulit kayu manis, 
3kuntum bunga lawang
5-6biji buah pelaga
1 sudu kecil jintan manis dan jintan putih(tumbuk kasar)
1 btg serai dititik
Sos tiram
Kicap lemak manis
1-2sudu gula
1 labu bawang besar
1 biji cili merah
Daun bawang

Cara-cara;

1. Gaul ayam dengan garam kunyit,goreng dan ketepikan.
2. Panaskan minyak,masukkan serai dititik,kulit kayu manis,bunga lawang,buah pelaga,jintan manis dan jintan putih. Kacau sebentar masukkan bahan kisar dan masak sampai pecah minyak
3. Masukkan sos tiram dan kicap manis. Yang ini masuk agak-agak je.Kacau rata dan masukkan ayam dan gula.
4. Matikan api dan masukkan bawang besar,cili merah dan daun bawang. 

Aku tak letak garam sebab ayam goreng pun dah ada garam,dan kicap tu sendiri pun dah cukup rasa masinnya.

Ok..selamat mencuba.


Khamis, 30 Mei 2019

PERIA GORENG KUNYIT BERJINTAN

Assalamualaikum.

Kebanyakkan orang tak sukakan peria sebab pahit.Sama juga macam aku. Tapi suami aku hantu peria. Bayangkanlah..peria katak yang sepahit-pahit alam tu dia boleh blender buat jus.. erkkkk.

Pelbagai petua orang bagi untuk hilangkan pahit peria. Rendam air garam la..perap tepunglah..macam-macam. Boleh je ikut yang mana-mana pun. Tapi kali ni aku nak sharekan resepi peria yang sangat sedap..sampai pahit peria yang ada pun tak terasa pahitnya.

Bahan-bahan;
2 sudu teh jintan manis
2 sudu teh jintan putih
**tumbuk kasar

2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
**dimayang

1 batang terung(perap garam setengah jam dan bilas)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 biji telur ayam
Sedikit udang/isi udang(optional)
4 biji cili padi(mayang)
1 biji bawang besar(mayang kasar)

Cara-cara;
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan merah kemudian masukkan jintan manis dan jibtan putih. Tumis sampai naik bau.
2. Masukkan peria dan sedikit air. Biar peria agak lembut dan masukkan udang(jika ada..kalau tak ada..ok je) serbuk kunyit,garam dan sedikit gula. Kacau rata.
3. Masukkan telur,cili padi dan bawang besar.Kacau rata dan siap!

Bau jintan ditumis sangat menggiurkan..so..korang boleh cubalah sendiri.


Isnin, 4 Mac 2019

CENDAWAN TIRAM GORENG KUNYIT

Assalamualaikum

Biasanya cendawan tiram orang masak sup, goreng tepung atau sayur manis aje. Tapi aku suka goreng kunyit. Suami aku lagilah..favourite dia. Jom tengok resepi aku.

Bahan-bahan;
3ulas bawang merah
3ulas bawang putih
**mayang halus
300g cendawan(1mangkuk atau ikut sukalah sukatan tu)-koyak kasar
10ekor udang besar(atau 1 mangkuk udang kecil)
5-6tangkai cili padi
1 labu bawang besar
1/2cawab santan
1 sudu teh serbuk kunyit

Cara-cara;
1. Tumis bawang-bawang hingga naik bau dan masukkan cendawan.
2. Masukkan garam, serbuk kunyit dan gaul sebentar.
3. Masukkan udang dan santan dan masak hingga didih.
4. Akhir sekali masukkan cili padi,bawang besar dan serbuk cukup rasa.

Simple..tapi layan.. 



Ahad, 24 Februari 2019

TENGGIRI MASAM LAUK BERPANTANG

Assalamualaikum

Aku penggemar ikan kering. Tak kiralah, ikan kering tu masin, masam atau kering kosong macam tu aje. Salah 1 kegemaran aku adalah Ikan Tenggiri. Ikan tenggiri kering ni ada 2 jenis, yang masam dan masin. Aku lebih suka yang masam.

Goreng simple-simple, makan dengan nasi panas pun boleh bertambah. Biasanya menu ni menu rasmi orang berpantang. Nak tengok resepi senang ni??

Bahan-bahan;
3 keping ikan tenggiri masam (potong lebar 2 jari)
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
5-6 tangkai cili padi
**mayang nipis
1biji limau nipis

Cara-cara;
Panaskan minyak dan gorengkan hingga masak dan ketepikan. Dengan menggunakan baki minyak masak tadi, tumis semua bahan dan masukkan secubit gula. Bila bawang dah layu, tuangkan keatas ikan tadi dan perahkan limau nipis keatas ikan. Siap! 



Baunya masya Allah.. rasanya sampai rumah jiran belakang pun sampai. Tak perlu lauk lain dah rasanya. Sedap dihidangkan bersama sayur manis bendi..

Ok..jangan tanya berapa kali aku tambah nasi 🤣

Khamis, 7 Februari 2019

KARI UDANG KACANG BUNCIS

Assalamualaikum

Kembali ke cerita masak memasak. Harini aku kongsikan resepi gulai AKA Kari Udang Dengan Kacang Buncis pulak.

Biasanya nasi lemak yang dijual berlaukkan sambal bilis dengan telur atau sambal ayam..sesekali sambal udang,kerang atau sotong kering. ..tapi kat Kedah ni biasa juga jumpa Nasi Lemak berlaukkan gulai udang. 

So harini, aku kongsikan resepinya.

Bahan-bahan;
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
**mayang 
1 sudu makan halba campur
2 tangkai daun kari
10-12ekor udang saiz besar atau 1 mangkuk udang kecil
1 pek rempah kari ikan
1 mangkuk kacang buncis
10 biji cili padi
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
1 keping asam keping
1 sudu teh serbuk kunyit

Cara-cara;
1. Panaskan minyak, tumis bawang-bawang,halba campur dan daun kari.
2. Masukkan rempah kari, serbuk kunyit dan sedikit air, tumis hingga nak bau dan masukkan santan cair. 
3. Bila kuah dah mendidih,masukkan santan pekat,asam keping dan udang. 
4. Renihkan 2-3minit, masukkan kacang buncis, cili padi,kacau dan perasakan sesedap rasa dan matikan api.Jangan didih terlalu lama.



Ini dia..gulai udang aku.

Nanti bila mood rajin dah mari, aku akan kongsikan tips nak masak kari yang betul. Ok..itu aje untuk harini..

Adeuss!!!



Ahad, 13 Januari 2019

AYAM GORENG SI KUNYIT

Assalamualaikum

Sekadar memenuhi blog. Ini kegemaran anak-anak . Resepi yang simple,tapi mampu membuatkan anak-anak mak anak makan bertambah.

Ini resepi cara aku

Bahan-bahan;
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia 
***dimayang

1/3 ekor ayam - potong sedang, perap dengan garam dan serbuk kunyit
4 biji kentang - belah 8
1 biji tomato
1 labu bawang holland
2 tangkai cili merah
5-6 tangkai cili padi
3 keping asam keping - racik nipis
1 camca sos tiram
2 sudu serbuk kunyit

Cara-cara;
1. Panaskan 1 cawan minyak, dan goreng ayam 3/4 masak (masukkan semua) dan ketepikan
2. Baki minyak, gorengkan kentang hingga masak dan ketepikan
3. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia dan asam keping, bagi layu sikit dna masukkan sos tiram, serbuk kunyit dan sedikit air untuk basahkan bawang aje.
4. Masukkan ayam dan kentang, gaul rata. Sebelum matikan api barulah masukkan tomato, bawang holland dan cili.


Senang dan sedap!

Selasa, 8 Januari 2019

RESEPI SAMBAL PETAI UDANG

Assalamualaikum.

Sebut je sambal petai..boleh dikiralah berapa orang je yang tak suka..dan setiap orang ada cara dan bahan tersendiri untuk masak sambal.

Ini bahan aku dan cara aku..

Bahan-bahan;
2genggam Cili kering
3 ulas Bawang merah
6 ulas Bawang putih
1 inci belacan(tak letak pun tak pe)
***blend semua sekali

1 labu bawang besar -potong bulat
Air asam jawa (anggaran suku cawan)
Isi petai -5-6tangkai petai
1/2kg udang (20-25ekor)
Gula garam sesedap selera

Cara-cara;
1. Panaskan setengah cawan minyak dan tumis bahan yang diblend sampai bersin pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan biarkan kuah didih sikit.
3. Masukkan udang dan isi petai. Tambahkan gula garam dan bawang besar. SIAP.. 

Alang-alang nak makan petai..aku nak bagi petua sikit macam mana nak kurangkan aroma letai dibilik air.. 
Mudah je..hidangkan sayur terung bila ada menu petai dan lepas makan makan petai minumlah kopi kow..
Cuba lah ye..

Isnin, 7 Januari 2019

KUDAP-KUDAP BENDI CELUP TEPUNG

Assalamualaikum..

Saja nak aktifkan blog ni.sementara mood belum kelaut. Harini aku cuma nak tunjuk salah 1 menu kegemaran aku untuk kudap-kudap..buat lauk pun boleh.


Bendi celup tepung!

Senang aje. Kat sini aku bagi 2 cara nak buat..menggunakan 2 bahan.

Cara 1.
Guna tepung goreng BISTARI. 
Gaul kan bendi dalam bancuhan pekat trpung bistari dan salut dengan tepung Bistari yang kering..terus goreng.

Cara 2.
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung jagung
1 sudu serbuk cili
1 sudu serbuk cukup rasa
Sedikit serbuk lada sulah.
***gaul rata bahan-bahan ni dan bahagikan kepada 2 bahagian.1 bahagian bancuh denga air bagi pekat dan 1 bahagian lagi biarkan kering untuk salut sebelum goreng.

Kaedah yang sama, gaul bendi dengan tepung yang dibancuh, angkat dan salut dengan tepung yang kering kemudian goreng deep fry 2-3minit api sederhana.

Siap!.. enak dimakan begitu sahaja..


Selasa, 25 Disember 2018

PAJERI NENAS TERGULING

Assalamualaikum.

Resepi seterusnya.. Pajeri Terung. Resepi ini juga boleh aje kalau nak tukar dengan nenas. Tapi Aku lebih suka terung.

Bahan-bahan;
3-4 batang terung -belah 2, rebus sedikit dalam 5 minit dna ketepikan
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
4 sekawan (kulit kayu manis+bunga lawang+bunga cengkih+buah pelaga)
1 pek rempah kari daging
1 tangkai daun kari
1 pek kecil kerisik (2-3 sudu lebihkurang)
1 cawan santan
5 sudu gula

Cara-cara;
1. Tumiskan bawang-bawang dengan 4 sekawan , daun kari dan rempah kari sampai naik bau.
2. Masukkan sedikit air dan santan, dan kemudian masukkan terung.
3. Bila kuah dah didih, bbalik-balikkan terung, masukkan kerisik dan garam.
4. Akhir sekali masukkan gula dan siap! 

Menu wajib yang mesti mengiringi pajeri terung ni, ikan gelama masin ! layannnnn

Isnin, 24 Disember 2018

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

Assalamualaikum

Tempoyak lagi.. hari ni aku nak kongsi resepi Sambal Tempoyak Daun Kayu. Dalam ni macam-macam daun aku letak. Kali pertama aku makan ni masa aku study kat Negeri Sembilan dulu. Mula dari situlah aku jatuh cinta dengan sambal daun kayu ni.

Bahan-bahan;
1 ikat pucuk ubi
5 helai daun kunyit
20 helai daun kaduk
1 ikat pucuk labu
***hiris halus

10-15 biji cili padi
1inci kunyit hidup (kalau tak ada,guna serbuk je)
***tumbuk 

4 papan petai ambik isi saja
Segenggam ikan bilis
2 batang serai -dititik
3 cawan santan pekat
1 cawan tempoyak 
garam

Cara-cara;
Satukan semua bahan dalam periuk..hidupkan api, gula garam secukupnya dan kacau-kacau sampai masak.


Cepat dan sedap. Cuma bahan aje yang agak susah nak cari kalau bukan musim..tambah-tambah tempoyak(durian) dan petai.

Ahad, 23 Disember 2018

PATIN TESCO MASAK TEMPOYAK

Assalamualaikum.

Kejayaan membuat tempoyak tidak berakhir disitu. Aku nak cuba pulak masak menu menggunakan tempoyak.

Teringin nak makan ikan patin masak tempoyak. Umum tahu, patin tempoyak ni sinonim dengan Negeri Pahang dan Perak. Kat Kedah ni memang tak jumpalah patin fresh dan tempoyak bukan makanan rasmi orang Kedah.

Terpaksa aku menjala patin kat Tesco. Mujur ada. Maka jadilah Masak Tempoyak Ikan Patin. Kepada orang Kedah yang tak pernah masak tempoyak ni..ni aku kongsikan resepi.. (orang Pahang dan Perak..sila duduk jeling diam-diam ye..korang dah terer)

Bahan-bahan;
Ikan patin 
1 cawan tempoyak..lebih pun ok..ikut la banyak mana ikan tu.
1 ikat daun kesum
1 kuntum bunga kantan -belah 2
10-15 tangkai cili padi (aku suka pedas)- tumbuk
1 sudu serbuk kunyit (kalau ada kunyit hidup tumbuk lagi sedap)
Garam

Cara-cara;
Masukkan semua bahan dalam periuk,sedikit air sebagai kuah, garam dan perasa sesedap selera..kacau-kacau rata.. hidupkan api.. tunggu didih..siap..senang je kan?

Jadilah masak tempoyak cara aku..aku bukan orang pahang 🤣

Sabtu, 22 Disember 2018

TEMPOYAK HOMEMADE

Assalamualaikum..

Haritu,masa musim durian,suami aku pegi borong buah yang orang jual lungguk-lungguk tu. Aku ni tak makan durian, tapi bila jadi tempoyak, aku makan sebab bau durian dah kurang.

Seumur hidup aku tak pernah buat tempoyak. Ni memang sejarah hidup. Suami suruh aku cuba buat. Katanya gauk je isi durian dengan garam.

Maka aku pun cuba..sambil tutup2 hidung aku asingkan isi durian dengan biji. Letak dalam besen, tabur garam..agak-agak ajelah lepas tu aku masukkan semua dalam balang plastik. Dapatla 3suku penuh balang tu..lepas tu aku letakla atas peti ais.

Pagi tu aku siap-siap nak pergi kerja..dapur sku dah berbau kuat.. aku tak tertengok pun la apa dah jadi dengan tempoyak aku.. Petang tu balik kerja aku kedapur.. tengok-tengok..

Mak datuk..sampai terangkat tudung balang..mujur tak meletup ke apa 🤣🤣

Tengokla bila aku cabut tudung balang tu..maintain je tempoyak aku tak jatuh..haha

Lepas ni tau dah.. isi separuh je dalam balang sebab tempoyak ni mengembang..manalah aku tahu. 38tahun hidup, ni baru 1st time aku buat.. huhu

Jumaat, 21 Disember 2018

AYAM MASAK MINANG

Assalamualaikum.

Sila jangan boring ye kalau hari-hari entri pasal resepi je. Bukan apa, aku tulis sebab aku takut aku sendiri yang lupa nanti.

Kali ni kita cuba 1 lagi menu..yang nak kata kari..tapi ada pedas cili padi..tiba-tiba ada bau daun limau purut macam menu siam pulak..tup-tup nama dia Ayam Masak Minang.. jauh nau pegi nya..

Bahan-bahan;
20 tangkai cili padi (lebih kurang 1 genggam)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
***blend semua bahan ni

1 pek kecil rempah kari daging
1 ekor ayam
5@6 helai daun limau purut
2 batang serai- dititik
1 cawan santan
3 kpg asam keping
Garam perasa secukup rasa

Cara-cara;
1. Tumis bahan yang di blend sampai naik bau.
2. Masukkan serai yang dititik, dan rempah kari.
3. Masukkan ayam, asam keping dan santan.
4. Akhir sekali masukkan daun limau purut, dan perasakan kuah.


Bagi aku..cukup 1 lauk ini...makan dengan nasi panas-panas..layannn..

Khamis, 20 Disember 2018

RESEPI KUAH KACANG MANIS

Assalamualaikum.

Kali ni aku kongsikan menu kesukaaan suami aku. Setiap kali raya ini adalah menu wajib.. atau kadang-kadang dia teringin nak makan nasi himpit,aku akan buat kuah kacang ni.

Resepi ni,resepi aku sendiri dan kuah kacang ni agak manis sikit.


Bahan-bahan;
2 cawan cili kering
4 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
5 batang serai
2 inci halia
1 batang lengkuas
***semua bahan ni di blend

Bahan tumis:-
2 batang serai -dititik
1 btg kulit kayu manis
4 kuntum bunga lawang

1 keping daging burger atau daging segar dicincang
2 keping asam keping/gelugur
1 cawan gula
1 ketul kiub ayam
2 cawan santan
1 kg kacang tanah, digoreng,buang kulit dan tumbuk

Cara-cara;
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumis dan bahan yang di blend sampai naik bau dan masukkan daging.
2. Masukkan asam keping, kiub ayam, dan sedikit air. Masak sampai didih.
3. Masukkan santan, kacang tanah dan sedikit garam.
4. Masak hingga kuah agak pekat dan matikan api. Akhir sekali masukkan gula dan kacau rata. 

Abaikan periuk yang dah bersememeh tu ye.. 

Rabu, 19 Disember 2018

GULAI PISANG IKAN TALANG KERING

Assalamualaikum.

Harini resepi yang agak rare. Kat kampung banyaklah jumpa masak gulai ni..dan yang paling penting, kalau kat kampung, terjadinya gulai ni bila ada pokok pisang yang tumbang dek ribut. 🤣

Pisang yang sesuai untuk buat gulai AKA kari ni adalah pisang emas, pisang nangka dan pisang abu. Yang pastinya mestilah pisang muda.


Bahan-bahan;
5-6biji pisang muda -siat kulit yang keras tu dan rendam dalam air supaya pisang tak hitam
200g ikan talang kering(isi dan tulang) -lebih kurang 1 mangkuk 
2 pek kecil serbuk kari ikan
3 ulas bawang merah -dimayang
6 ulas bawang putih -dimayang
1/2 cawan perahan air asam jawa
2 cawan santan
2 tangkai daun kari
1 camca halba campur (halba+biji sawi+jintan putih+jintan manis)

Cara-cara;
1. Tumis bawang-bawang,daun kari dan halba campur.
2. Masukkan serbuk kari dan air asam jawa. Kacau sampai pecah minyak dan masukkan 2 cawan air.
3. Masukkan pisang muda. Renihkan 5-6minit dan masukkan ikan talang kering. Renihkan lagi 10 minit atai sampai pisang lembut.
4. Masukkan santan dan perasakan. Tak perlu banyak garam sebab ikan talang tu sendiri dah masin.. siap!

Nikmat duduk dikampung..semuanya boleh dijadikan makanan yang sedap-sedap..pokok pulak tumbuh dikeliling rumah.

Selamat mencuba dan menggulai.

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...