Sabtu, 9 November 2019

INFO KESIHATAN : BARAH PANGKAL RAHIM

Assalamualaikum.

Perkongsian ilmu yang sangat berguna untuk semua kaum hawa daripada Prof. Dr. Imelda Balchin.


*****


Barah cervix.

Pada tahun 2012, seramai 530 ribu wanita di seluruh dunia dikenalpastikan mendapat penyakit barah cervix atau cervical cancer. Ini ialah penyakit barah yang bermula dari pangkal rahim. 

Di Malaysia pula, setiap tahun, seramai 2000 wanita Malaysia dikenalpasti mendapat barah cervix. 

Pada tahun 2012 juga, 270 ribu wanita di seluruh dunia, meninggal dunia akibat barah ini. Kebanyakan kematian (85 dalam 100 kematian) berlaku kepada wanita di negara yang membangun dan hanya 15 dalam 100 kematian berlaku di negara maju. 

Ini ialah kerana di negara maju:
a) ada program mencegah, 
b) ada program untuk mengesan di peringkat awal (cervical screening), 
c) dan program merawat di peringkat awal bila dikenalpasti sebelum merebak menjadi sel barah. 

80% (80 dalam 100) penyakit barah cervix boleh dielakkan dengan program tersebut di atas. 
--------------------------------------------------

Apakah yang menyebabkan barah cervix? 

Barah cervix disebabkan oleh sejenis virus yang dinamakan HPV (Human Papilloma Virus). Virus ini berada di alam sekeliling kita. 

90% wanita akan mendapat pendedahan kepada virus HPV, terutama sekali jika pernah membuat hubungan kelamin. 

Di antara semua wanita yang mendapat pendedahan kepada virus HPV ini, 90% wanita boleh menyingkirkan virus HPV dari pangkal rahim dalam masa dua tahun. Jika virus HPV ini tidak disingkirkan oleh badan, ia boleh menyebabkan pertumbuhan barah selepas masa yang lama, iaitu dalam masa 15 tahun. 7% wanita adalah pembawa HPV virus atau HPV carriers dan ada risiko lebih tinggi mendapat cervical cancer. 

HPV tidak boleh dibuang dengan kaedah meruang atau vaginal douching atau vaginal wash. Malah kajian menunjukkan yang wanita yang meruang atau membuat vaginal douching mendapat lebih perubahan sel pra-kanser barah cervix. Ini mungkin kerana lendir keputihan yang dikeluarkan oleh cervix juga memberi perlindungan daripada jangkitan HPV. 

------------------------------------------------

Bagaimana hendak MENCEGAH barah cervix? 

Pertama sekali ialah vaksin HPV:

Kanak-kanak berumur 9-13 tahun boleh diberi vaksin HPV untuk menguatkan ketahanan badan melawan HPV. Ini boleh mengelakkan barah cervix sebanyak 80%. Ia paling berkesan bila diberikan pada usia sebelum 14 tahun dan hanya perlukan dos dua kali. Wanita muda berusia 14 tahun hingga 26 tahun masih boleh ambil vaksin ini tetapi memerlukan 3 dos. 

Mereka yang sudah lebih berusia, 27 hingga 45 tahun dan tidak mendapat vaksin pada usia yang awal, masih boleh lagi mendapat vaksin walaupun sudah membuat hubungan kelamin dan sudah bersalin. Vaksin yang berkesan pada usia ini ialah Gardasil 9 tetapi ia tidak dibiayai kerajaan, dan anda boleh cari di bahagian swasta jika mampu. 

Kedua ialah Cervical Cancer Screening untuk wanita yang pernah membuat hubungan kelamin:

Ada 3 cara:
A) Pap smear setiap 3 tahun sehingga usia 65 tahun untuk wanita yang pernah membuat hubungan kelamin. 
 Ini bertujuan mengesan perubahan sel-sel di bahagian cervix pada peringkat pra-cancer sebelum ia bertukar menjadi sel barah. Sel-sel ini diambil dari permukaan cervix semasa membuat pap smear atau LBC (liquid based cytology) dan dikaji di makmal. 

Jika sel pra-cancer tidak dikesan, anda digalakkan  mengulang pap smear atau LBC setiap 3 tahun, sebab proses perubahan sel menjadi barah mengambil masa beberapa tahun. Jika terdapat sel pra-cancer, ia boleh dirawat sebelum menjadi barah. 

B)Jika anda boleh mendapatkan ujian HPV, Ini ialah lebih baik lagi dari Pap smear. Mulakan dari usia 30 tahun. Jika ini tidak mengesan kehadiran virus HPV, anda boleh ulang setiap 5 tahun sehingga 49 tahun. Jika ujian HPV mengesan kehadiran HPV virus, anda akan di nasihatkan mendapatkan Pap smear atau terus membuat ujian colposcopy. 

C) Ujian colposcopy.

Kesimpulannya ialah mendapatkan Vaksin HPV pada usia remaja muda dan kemudian membuat ujian HPV test setiap 5 tahun dari usia 30 hingga 49 tahun ialah cara mencegah Cervical cancer yang terbaik. Inilah garispanduan kesihatan World Health Organisation dan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Jangan meruang. Jangan buat vaginal douching. Jangan mencuci di bahagian dalam vagina kerana ini lebih memudaratkan kesihatan wanita. 

Dr Imelda Balchin
Pakar Kesihatan Wanita
Consultant Obstetrics & Gynaecology, 
Subspecialist in Maternal & Fetal Medicine,
KPJ Damansara Specialist Hospital.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...