Jumaat, 29 November 2019

INFO KESIHATAN : DARAH

Assalamualaikum

Lagi perkongsian ilmu dari Prof.Dr.Imelda Balchin mengenai kesihatan wanita. 







Sains perubatan tentang darah dan darah haid.

Di dalam semua saluran darah di dalam badan, darah kita mengalir tanpa menjadi darah beku, atau blood clot. 

Di dalam darah, ada 

1) Sel darah merah yang membawa oxygen dari paru-paru ke seluruh badan. Bila membawa oksigen, sel darah merah berwarna merah cerah sebab kandungan oxy-haemoglobin yang tinggi. Selepas sel darah melepaskan oxygen kepada sel organ badan, warna sel darah merah bertukar menjadi merah gelap, seakan unggu kehitaman, sehingga sel darah merah dibawa semula ke paru-paru dan bercantum dengan oxygen baru, menambahkan kandungan oxy-haemoglobin dan menjadi merah cerah semula. 

2) Sel darah putih yang melawan semua kuman yang masuk ke dalam badan. Bila ada kuman bakteria masuk ke dalam kulit yang cedera, sel darah putih akan datang sepasukan melawan kuman-kuman bakteria dan menangkap kuman bakteria dalam kawalan serta mengasingkan kuman bakteria daripada bahagian badan yang lain. Inilah dia ‘nanah’. Selepas nanah dikeluarkan, dan tiada lagi nanah baru, kita tahu badan kita sudah mula sembuh dari jangkitan kuman bakteria. Nanah terjadi bukan sebab anda makan ayam atau telur, tetapi kemasukan kuman bakteria yang dilawan oleh sel darah putih. 

3) Sel platelet yang mengawas saluran darah. Jika ada pendarahan sebab berlakunya kecederaan, Sel platelet akan menjadi aktif dan membekukan darah di bahagian kecederaan untuk menghentikan pendarahan keluar dari badan. 

4) Coagulation factor: ini adalah protein yang mengalir di dalam darah. Ia hanya menjadi aktif dan berkerja dengan Sel platelet yang aktif untuk membekukan darah jika keluar dari saluran darah dengan tujuan menghentikan pendarahan daripada berterusan. 

Sila lihat gambar satu, supaya kita faham kenapa darah menjadi beku bila keluar dari badan. 

Sila lihat gambar dua. Semua darah yang diambil keluar daripada saluran darah atau badan akan menjadi pekat, pejal, dan berketul seperti di dalam gambar. 

Tetapi, bila kami doktor-doktor ambil darah pesakit untuk ujian darah di dalam tube seperti dalam gambar tiga, darah yang anda lihat keluar ke dalam tube tidak membeku, sebab di dalam tube itu sudah ada bahan pencair darah dengan tujuan mengelakkan darah daripada menjadi blood clot, supaya kita boleh membuat analisa darah. Apa yang anda lihat dalam tube semasa doktor ambil darah, bukanlah sifat semulajadi darah yang keluar dari badan, tetapi sifat darah yang dicampur ke dalam tube yang mengandungi bahan pencair darah, atau anti-coagulant. 

Sama juga bila anda memberi darah untuk blood donation atau menerima transfusi darah, beg darah itu mengandungi sedikit anti-coagulant untuk mencegah darah menjadi pejal seperti blood clot di luar badan, supaya boleh digunakan untuk transfusi kepada pesakit yang memerlukan darah. Sila lihat gambar 4. 

Jadi, sila janganlah panik atau risau bila lihat darah haid anda keluar dengan sedikit ketulan. Itu bukanlah sebab ada darah beku dalam rahim. Hanya selepas darah keluar dari rahim, sel platelet dan coagulation faktor di dalam darah menjadi aktif untuk memejalkan darah. Itulah sifat darah yang semulajadi bila keluar dari badan. Bukannya sebab darah anda kotor, atau ada penyakit. 

Jika darah haid menjadi perang atau kehitaman, itulah sifat semulajadi sel darah merah yang sudah tiada oxy-haemoglobin. Jadi janganlah kata darah haid ini kotor. Tiada kekotoran di situ.

Bilakah anda patut berjumpa doktor sakit puan atau doktor di klinik gynae? 

A) Jika haid anda berubah dan tidak teratur (irregular menstruation)
B)Jika ada pendarahan di antara haid (intermenstrual bleeding)
C) Jika haid terlalu banyak sehingga banyak ketulan dan mengganggu perkerjaan anda (menorrhagia) 
D) Jika tempoh pendarahan terlalu lama melebihi kebiasaan (prolonged bleeding)
E) Jika senggugut yang terlalu teruk sehingga mengganggu perkerjaan anda (dysmenorrhoea)
F) Jika ada pendarahan selepas menopos, walaupun sedikit (postmenopausal bleeding)
G) Jika keputihan yang biasa berubah menjadi warna hijau, kelabu, perang atau berbau hanyir atau menjadi terlalu banyak (abnormal vaginal discharge).

Selain daripada ini, jangan risau jika nampak ketulan darah dalam haid, atau warna darah haid warna perang. Tak payahlah ambil gambar dan hantar kepada penjual jamu. Macam-macam depa akan kata dan tunjuk dalam media sosial sebab nak suruh anda beli juga produk depa. 

Sekian, semoga pengetahuan ini bermanfaat untuk semua wanita.

Dr Imelda Balchin,
Pakar Kesihatan Wanita 

P/S: lagi satu saya nak cerita.
Kalau hangpa tengok drama dalam TV, kes hantu ka, kes pembunuhan kaa, drama hospital kaa, depa guna darah tipu, maka memang macam air merah sirap saja, yang tak menjadi pejal, tak menjadi ketulan blood clot dan warna tak menjadi merah gelap atau merah kehitaman seperti yang sepatutnya. Sebab inilah doktor selalu tergelak-gelak tengok drama macam ni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...