Rabu, 27 November 2019

INFO KESIHATAN : MENJARAKAN KEHAMILAN

Assalamualaikum.

Info kesihatan dari Pakar Ibu Hamil dan Janin, Prof.Dr.Imelda Balchin.



Selepas bersalin, rahim mengecut. Semasa menyusu, rahim mengecut lagi cepat. Tetapi ibu yang kehilangan bayi yang meninggal dunia selepas bersalin, rahim ibu akan mengecut juga tanpa penyusuan bayi. Selepas keguguran, rahim akan mengecut juga tanpa penyusuan bayi. Tak payah berpantang, tak payah bertunku pun, rahim akan mengecut juga selepas bersalin dan selepas keguguran. 

Jika anda terhamil semasa menyusukan anak, rahim anda tidak akan mengecut semasa hamil. Anda tidak akan gugur disebabkan oleh masih lagi menyusu, sebab, semasa hamil ada corpus luteum cyst di dalam ovari pada awal kehamilan dan kemudiannya ada uri placenta yang kedua-duanya berfungsi membuat hormon progesterone yang menampung kehamilan anda. Itulah perbezaannya di antara penyusuan selepas bersalin dan penyusuan bila hamil. 

Semasa hamil ada progesterone, selepas bersalin tiada progesterone. Hangpa kena faham sains fisiologi manusia sebelum bagi nasihat yang menakutkan ibu-ibu hamil. Jangan menakutkan ibu dengan kenyataan kalau masih menyusu semasa hamil dia akan gugur. Itu ialah kenyataan yang tidak betul. 

Penyusuan ibu boleh merangsangkan sedikit pengeluaran hormon oxytocin tetapi ini tidak menggugurkan kehamilan. Jika kita berikan oxytocin berdos tinggi saja untuk tujuan menggugurkan kandungan di trimester pertama dan kedua kehamilan pun kita tak akan berjaya, sebab itulah doktor Gynae tidak menggunakan IV oxytocin drip sebagai kaedah induce labour atau menggugurkan kandungan pada awal atau pertengahan kehamilan. 

Oxytocin secara IV drip hanya boleh berjaya untuk induce labour selepas kita pecahkan air ketuban apabila janin sudah matang atau hampir matang, sebab receptor oxytocin di dalam sel-sel rahim tidak bertindakbalas terhadap hormon oxytocin sehingga kehamilan yang sudah matang atau hampir matang. Walaupun kehamilan sudah matang, kalau oxytocin IV drip ini diberikan tanpa memecahkan air ketuban dulu pun ia tidak berkesan untuk induce labour. 

Jika ada janin yang meninggal dunia di dalam rahim pada awal atau pertengahan kehamilan, doktor tidak akan berjaya induce labour dengan menggunakan hormon oxytocin sahaja maka kami tidak menggunakan kaedah ini. Jadi sila tambahkan ilmu pengetahuan anda tentang penyusuan dan oxytocin, dan janganlah kata penyusuan anak boleh menggugurkan kehamilan.

Apa yang menyebabkan masalah kelahiran pramatang dan masalah pembesaran janin ialah JARAK DI ANTARA KELAHIRAN yang kurang dari 18 bulan. Bukan sebab masih menyusukan anak. Penyusuan anak itu hanya confounding factor. Kalau tak faham apa dia confounding factor, sila skrol ke penulisan saya hat semalam. Saya sudah terangkan sebelum ini apakah maknanya confounding factor. Walaupun tidak menyusukan anak, jika anda tidak menjarakkan tempoh masa di antara dua kelahiran melebihi 18 bulan, ada lebih risiko kelahiran pramatang atau masalah pembesaran janin (iaitu small for gestational age). 

Jadi, apa yang terbaik untuk kesihatan anak untuk kehamilan yang berikutnya ialah menjarakkan tempoh masa di antara dua kelahiran supaya melebihi 18 bulan, dan usia di antara dua orang anak adalah melebihi 18 bulan. Terutama sekali jika anda mahukan kejayaan bersalin secara normal selepas pembedahan Caesar. 

Kajian perubatan telah menunjukkan jika ibu bersalin secara pembedahan Caesar dan kemudian bersalin semula dalam masa 18 bulan selepas pembedahan Caesar, 

1) Kejayaannya bersalin secara normal (VBAC) adalah kurang baik jika dibandingkan dengan ibu yang bersalin lebih dari tempoh 18 bulan selepas pembedahan Caesar. 

2) Risiko rahim pecah semasa bersalin adalah 3-4 kali ganda lebih tinggi lagi bila dibandingkan dengan ibu yang berjaya menjarakkan tempoh masa bersalin melebihi 18 bulan selepas pembedahan Caesar. Dengan maklumat ini, ramai doktor akan menasihatkan anda untuk menjalani pembedahan Caesar jika anda tidak berjaya menjarakkan kehamilan anda supaya tidak bersalin dalam tempoh 18 bulan selepas pembedahan Caesar yang lepas. 

Jadi, anda semua sudah dapat maklumat ini dan tahu apa nak buat. Pilih lah apa yang terbaik untuk kesihatan ibu dan anak. Merancanglah keluarga anda. 

Terimakasih

Dr Imelda Balchin 
Pakar Kesihatan Wanita
Consultant Obstetrics & Gynaecology
Subspecialist in Maternal & Fetal Medicine
KPJ Damansara Specialist Hospital

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...