Sabtu, 21 Disember 2019

INFO KESIHATAN : NANGKA DAN ANGIN

Assalamualaikum.

Nangka selalu dikaitan dengan angin. Ada yang menyalahkan nangka kalau perut kembung,pening kepala dan sebagainya. Berikut adalah penjelasan dari Prof. Dr. Imelda Balchin.



Semalam saya tengah syok makan gulai nangka. Kemudian, ada pula orang datang tegur saya jangan makan, nanti dapat angin. 

Saya jawab, kalau perut anda yang ada masalah penghadaman buah nangka, maka andalah yang dapat angin, bukan saya, sebab saya tak ada masalah penghadaman nangka dan saya tak dapat angin bila saya makan buah nangka. 

DI DALAM NANGKA, TAK ADA ANGIN. 

Angin tu datangnya dari dalam usus orang yang ada masalah penghadaman makanan. 

Pada hakikatnya, makanan itu tak bersalah dan tiada angin di dalamnya. Masalahnya ialah sistem penghadaman sesetengah orang yang tidak sempurna, maka jika makanan itu tidak dihadam dengan lengkap, maka makanan yang tak terhadam itu akan dibantu dihadamkan oleh bakteria yang hidup di dalam usus manusia. Sebagai kesan sampingannya, bakteria itu mengeluarkan GAS. Gas yang banyak boleh menyebabkan anda tidak selesa, perut kembung dan terkentut-kentut. 

Jika anda juga ada usus yang tidak cergas dan lambat membawa makanan yang tak habis hadam keluar sebagai najis, terutamanya jika anda membiarkan diri mendapat sembelit, maka ini juga memberi lebih masa untuk bakteria dalam usus itu bertindak ke atas makanan yang tak habis hadam itu, dan lebih lagi lah pengeluaran gas, dan banyaklah lagi kentut anda. Apa yang boleh merangsangkan dan mempercepatkan pergerakan usus anda ialah kecergasan diri dan bersenam. Ini mengurangkan masalah sembelit dan gas di dalam usus. 

Kesimpulannya, dari ilmu pengetahuan Sains Biologi manusia, inilah petua bagaimana anda semua boleh mengurangkan gas atau angin di dalam usus yang menyebabkan anda senak, kembung, sendawa dan kentut-kentut:

1) Anda elaklah makanan yang memberi anda sendiri masalah penghadaman dan senak perut, BUKAN SURUH ORANG LAIN PANTANG MAKAN jika anda yang ada masalah. 

2) Berhenti sedut-sedut atau menghisap sebab anda sendiri memasukkan udara atau gas ke dalam perut anda. Sebagai contoh, berhenti hisap rokok, berhenti hisap vape dan berhenti menyedut minuman menggunakan straw. Minumlah dari cawan. 

3) Berhenti minum air bergas. 

4) Bantulah diri sendiri menghadamkan makanan. Bila makan, kunyah perlahan-lahan, kunyah banyak-banyak kali sebelum telan. Kalau anda suka telan nangka dan telan pulut tanpa mengunyah sebab anda malas mengunyah, itu masalah yang anda berikan kepada diri sendiri. 

5) Minum cukup air dan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan sembelit. 

6) Bersenam dengan kerap. Cergaskan diri anda untuk membantu pergerakan usus yang lancar. 

7) Kalau sakit gigi dan tak boleh mengunyah dengan betul, jangan takut jumpa doktor gigi.

Ramai orang dalam masyarakat kita ni suka buat andaian jika mereka tak boleh makan makanan yang tertentu, maka semua orang lain patut dilarang dari memakan makanan tu dan ikut pantang mereka. Jangan ikut contoh orang yang sebegini. Sebaliknya berikanlah mereka nasihat apakah tabiat dan amalan yang baik supaya mereka boleh membantu diri sendiri mengelakkan masalah mereka sendiri. 

Semoga penjelasan ini memberi anda manfaat. 

Amalkan gaya hidup sihat dan cergas.
Dr Imelda Balchin
Pakar Perunding Obstetrics & Gynaecology, 
Masters Public Health.

Tiada ulasan:

Catat Komen

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...