Rabu, 19 Februari 2020

FAKTA MENGENAI PENCEN PENJAWAT AWAM

Assalamualaikum

Perkongsian dari Bahagian Pasca Perkhidmatan (PENCEN)

*****
SHARE SHARE SHARE 

INFO RINGKAS SKIM PENCEN SEKTOR AWAM

1. Adakah pencen boleh difaraidkan / diwasiatkan?

Tidak – pencen tidak boleh diwasiatkan atau difaraidkan kerana ia bukan harta pusaka.
(Punca kuasa – Seksyen 19, Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Muzakarah JawatanKuasa Fatwa Kali ke-21 (12 September 1988))

2. Adakah faedah persaraan boleh dicukaikan?

Ganjaran – tidak dicukaikan
GCR – tidak dicukaikan
Pencen – Diterima mulai usia 55 tahun tidak dicukaikan, sebelum umur 55 tahun boleh dicukaikan (Punca Kuasa – Seksyen 127, Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan Jadual 6 Akta 53)

3. Apa yang boleh dipotong dari faedah persaraan?

Hutang-hutang kerajaan, tuntutan nafkah atas perintah mahkamah dan potongan insolvensi bagi kes kebangkrapan.
(Punca kuasa – seksyen 19, Akta Pencen 1980 (Akta 227))

4. Pesara atau penerima pencen dipenjarakan, adakah pencen dihentikan?

Ya – penerima pencen tidak layak menerima pencen sehinggalah mendapat pengampunan. Walau bagaimanapun, Elaun Tanggungan boleh dipertimbangkan kepada tanggungan yang layak (isteri dan anak2 bawah 21 tahun) 
(Punca kuasa – Seksyen 21 Akta Pencen 1980 (Akta 227))

5. Ada bezakah antara pesara Persekutuan dengan pesara Badan Berkanun / Kuasa Tempatan?

Ya – Terdapat beza di antara pesara Persekutuan dengan pesara Badan Berkanun / Kuasa Tempatan. Ia termasuklah tanggungan pembiayaan bayaran GCR dan faedah perubatan (faedah GCR dan perubatan bagi Badan Berkanun / Kuasa Tempatan ditanggung oleh Badan Berkanun / Kuasa Tempatan itu sendiri)

6. Pesara berkahwin dalam persaraan, adakah pasangan layak terima pencen terbitan?

Ya – tetapi hanya setakat baki tempoh 20 tahun dari tarikh persaraan pesara sahaja. Setelah tamat tempoh 20 tahun dari tarikh persaraan pesara, pasangan dikahwini dalam persaaan termasuklah anak hasil perkahwinan tersebut hilang kelayakan menerima pencen terbitan.
(Punca Kuasa – Seksyen 15 , Akta Pencen 1980 (Akta 227))

7. Adakah anak layak terima pencen terbitan?

Ya – bagi anak di bawah 21 tahun ketika kematian pesara, layak terima sehingga 21 tahun dan boleh dilanjutkan sekiranya melanjutkan pengajian sehingga menuju ke arah ijazah pertama. Anak yang sudah mencapai 21 tahun semasa kematian pegawai/pesara tidak layak, kecuali anak cacat [OKU otak, anggota atau mental (teruk)]
(Punca kuasa – Seksyen 16, Akta Pencen 1980 (Akta 227))

8. Jika suami iaitu pesara, meninggal dunia, isterinya akan menerima pencen terbitan. Bagaimana jika kemudian isterinya itu berkahwin dengan suami baharu, adakah pencen terbitannya masih terus diberikan?

Ya, pencen terbitan dibayar kepada pasangan sepanjang hayat pasangan (balu/duda) dengan syarat, perkahwinan mereka dahulu berlaku semasa pegawai masih sedang berkhidmat. Walau bagaimanapun, pasangan pesara itu sudah tidak layak lagi menikmati kemudahan perubatan atas kapasiti pasangan pesara, kecuali suami baharunya itu juga merupakan pegawai awam atau pesara.

9. Adakah benar terdapat anggota/pesara yang menerima pencen penuh iaitu kadar pencennya sama seperti gajinya yang terakhir sebelum bersara?

Tidak benar sama sekali. Semua anggota berpencen hanya layak menerima pencen maksimum sebanyak 60% daripada gaji akhirnya sahaja. 

10. Dengar cerita lepas ni tiada lagi kenaikan pencen, betul kah?

Tidak mungkin berlaku. Kenaikan pencen sebanyak 2% telah diperkenalkan sejak tahun 2013 dan masih diteruskan pada tahun 2020 dan tahun-tahun mendatang. 

11. Betul ke penjawat awam lantikan baharu 2020 tiada lagi skim pencen untuk mereka? 

Eh tak betul tu. Penjawat awam yang baru dilantik secara tetap pada tahun ini (2020) dalam perkhidmatan awam masih diberikan pilihan untuk memilih opsyen skim KWSP ataupun Skim Pencen. 

12. Ada pihak mendakwa tiada penambahbaikan ke atas skim pencen sejak PRU-14 yang lalu, betul ke? 

Ha ini pun tak betul sama sekali. Antara penambahbaikan skim pencen bagi tahun 2018 hingga 2020 ialah:

- lebihan 150 hari pengumpulan GCR boleh ditukar kepada cuti rehat dan boleh ditebus 12 bulan sebelum pegawai bersara

- kemudahan perubatan dipanjangkan kepada ibu bapa pesara (persekutuan) 

- pemberian bantuan one off sebanyak RM500 kepada penerima pencen di bawah RM1,000 yang berkelayakan

- pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, jika belum menerima kenaikan gaji tahunan (KGT), tarikh pemberian KGT akan diberikan serta diawalkan kepada tarikh kematian pegawai (PP8/2019)

- pemberian bantuan khas RM250 turut dipanjangkan kepada pesara skim kwsp yang layak dan veteran ATM tak berpencen

- pemberian ex-gratia kematian sehingga Ram150,000 sebagai tambahan kepada faedah terbitan bagi kes penjawat awam yang meninggal dunia dengan tempoh perkhidmatan kurang 20 tahun. Ini termasuk kepada semua penjawat awam lantikan tetap atau sementara, yang pilih skim pencen mahupun skim KWSP, yang dilantik oleh persekutuan mahupun negeri/badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Peruntukan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan. Punca kuasa PP11/2019

- penebusan awal GCR sebanyak 75 hari bagi perkhidmatan yang mencapai 15 tahun dalam perkhidmatan (pekeliling akan dikeluarkan dalam masa terdekat setelah pindaan Undang-Undang Pencen 1980 diwartakan)

Penambahbaikan Skim Pencen ini dilakukan oleh pihak JPA dari semasa ke semasa dengan persetujuan Kerajaan. 

Sumber rujukan:
- Akta Pencen 1980
- Peraturan Pencen 1980
- Perintah Am 
- Pekeliling berkaitan 

Ada apa-apa soalan lain, boleh komen di bawah ini atau PM admin. Insya Allah kami akan cuba jawab persoalan anda dan kongsikan apa yang baik untuk kebaikan semua, tanpa mengira bangsa, agama, warna mahupun fahaman politik. 

Untuk pertanyaan lanjut juga, boleh hubungi 03-8887 8777 atau emailkan kepada mypesara@kwap.gov.my

Sekian, salam hormat.


1 ulasan:

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...